SAUDARA PENGARANG,
OGOS merupakan bulan kemerdekaan. Justeru, kita perlu memerdekakan sikap ke arah kebaikan.
Ini termasuk mencari sumber pendapatan halal walaupun tidak mewah. Apa guna gaji mewah tetapi bercampur wang tidak halal.
Kita perlu ingat antara halal dan haram, adanya syubhah.
Seperti lirik lagu Amboi nyanyian Altimet, Kalau tinggal rumah sewa tapi beli kereta mewah, amboi, amboi. Seni liriknya menusuk ke tulang setiap rakyat. Ini merupakan satu dakwah dalam bidang seni. Banyakkan lagi lagu kempen dan iklan yang melarang aktiviti rasuah.
Seingat saya, sudah lama Keluarga Malaysia diingatkan tentang bahaya amalan rasuah. Sudah banyak kempen alam maya dibuat.
Ingat tak kisah jerung dan ikan bilis? Kalau ada pilihan bagi mengurangkan spesies antara kedua-duanya, apa yang akan anda lakukan? Adakah anda akan mengebom kedua-duanya lalu habis cerita?
Inilah sebenarnya perumpamaan golongan yang mengambil rasuah. Golongan jerung ini susah sikit nak ditangkap. Dia punya ‘mengelupur’ boleh tenggelamkan bot penangkap ikan. Akan tetapi ikan bilis mudah ditangkap, tak ‘mengelupur pun.’ Tak kira jerung atau ikan bilis, salah tetap salah.
Sekarang ini menurut perhatian saya sebagai pegawai badan berkanun, pelajar sekolah harus difahamkan tentang apa itu rasuah dan kesannya pada negara.
Mengikut sejarah, runtuhnya Kota Melaka kerana rasuah, runtuhnya sistem pemerintahan Khalifah Uthmaniyah di Istanbul pada 1924 kerana rasuah. Kita berada di akhir zaman. Jangan tak tahu, dajal sebenar pun akan tawarkan rasuah bagi orang yang ingin menjadi pengikutnya. Walaupun rasuah jalan mudah, tetapi niat tidak menghalalkan cara.
Akhir sekali, jika tiada penawaran, masakan ada pembeli. Inilah sebenarnya, realiti atau fantasi. Banyak kes orang yang menerima rasuah ditangkap, sebaliknya pemberi rasuah jarang-jarang atau kadang-kadang ditangkap. Sepatutnya seimbangkan.
Kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan tidak lama lagi. Jadi, merdekakan diri daripada rasuah.-UTUSAN
MOHD. EFENDI MAT DAUD
Kepala Batas, Pulau Pinang