SAUDARA PENGARANG,
PERSIAPAN barisan pemain perseorangan remaja bagi menghadapi saingan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Amerika Syarikat pada September ini sedikit terganggu apabila dikejutkan dengan berita penyingkiran Datuk Misbun Sidek sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Penyingkiran Misbun dipercayai susulan prestasi hambar skuad muda negara di Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Ironinya, Misbun ‘dipecat’ atas kegagalan saingan perseorangan melepasi peringkat separuh akhir kejohanan tersebut sedangkan barisan kejurulatihan bagi kem beregu remaja yang turut gagal melepasi peringkat sama tidak pula diambil tindakan serupa.
Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi tersebut. Justeru, tidak salah jika Misbun mendakwa beliau dijadikan ‘kambing hitam’ disebabkan kegagalan keseluruhan skuad remaja negara di kejohanan tersebut.
Hakikatnya, ini bukan kali pertama Misbun selaku jurulatih berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Beliau pernah meninggalkan BAM pada awal 1990-an dan 2011.
Amat menyedihkan apabila seorang legenda yang pernah melahirkan tiga pemain nombor satu dunia, iaitu Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Wong Choong Hann diperlakukan sedemikian.
Campur tangan daripada pihak pengurusan juga turut menjadi sebab mengapa Misbun sukar untuk melaksanakan program latihan yang sudah disusunnya. Justeru, meletakkan tanggungjawab kepada Misbun di atas kesemua kegagalan adalah amat tidak adil.
Kemelut dalaman yang menghantui pengurusan BAM bukanlah perkara baharu, malah sejak akhir-akhir ini ia semakin membimbangkan. Pertengahan tahun ini, tiga individu penting meninggalkan BAM dalam tempoh sebulan.
Bermula dengan Michelle Chai yang meletak jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif ABM, diikuti Dr. Tim Jones yang ditamatkan perkhidmatan selaku Pengarah Berprestasi Tinggi ABM dan terakhir, Choong Hann yang meletak jawatan sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan.
Dalam keadaan ini, BAM dilihat seperti kehilangan arah dan fokus dalam usaha melahirkan kembali jaguh badminton berkualiti. Mungkin inilah masa sesuai untuk semua pihak melihat dalam pengurusan BAM itu sendiri.
Perlu ada perubahan dalam pengurusan terutama mereka yang sudah terlalu lama di tampuk kuasa BAM atau yang menjadi duri dalam daging kepada usaha mengekalkan kecemerlangan badminton negara.
Sememangnya diakui pembabitan tokoh politik dalam pengurusan sukan negara tidak dapat dipisahkan. Namun pada masa sama, sebolehnya peranan mereka itu biarlah hanya sebagai sokongan.
Biarkan mereka yang berkaliber dan tahu segalanya terutama bekas atlet yang sememangnya berpengalaman dan berkecimpung lama dalam sesuatu sukan duduk di kedudukan tinggi dalam struktur organisasi sukan manakala tokoh politik bolehlah menggunakan pengaruh mereka dalam meraih sumbangan penajaan dan sokongan kewangan.
Keputusan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk melepaskan jawatannya lebih awal selaku Presiden BAM pada hujung tahun ini biarpun sebelum ini mengumumkan akan berbuat demikian selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 perlu dihormati dan dicontohi oleh pengurusan tertinggi BAM yang lain.
Kecemerlangan badminton Malaysia seperti di zaman Sidek Bersaudara harus dikembalikan. Malaysia harus berasa malu dengan kedudukan India dan juga Taiwan yang semakin mengejar dan menjarakkan diri meninggalkan Malaysia di belakang.-UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya