SAUDARA PENGARANG,
PENIPUAN dalam talian masih lagi menjadi musuh utama negara. Semakin hari semakin banyak kes-kes melibatkan penipuan ini berlaku sedangkan ia sudah diuar-uarkan di pelbagai platform bagi memberi kesedaran kepada orang ramai. Malangnya masih ramai terjerat dengan ganjaran wang yang tinggi.
Saya bimbang kerana jenayah jenis ini semakin berleluasa dengan pelbagai taktik penipuan. Saya percaya ramai terpedaya dengan taktik penipuan dalam talian seperti Macau Scam, skim cepat kaya, pinjaman kewangan dan sebagainya.
Dalam menangani kes penipuan ini, perkara yang penting adalah sentiasa berwaspada dalam mendedahkan maklumat peribadi kepada umum.
Selain itu, kita juga perlu menggunakan bantuan teknologi yang semakin canggih seperti penggunaan aplikasi bagi tujuan menapis panggilan yang tidak dikenali dan menyekat talian meragukan bagi mengelakkan diri menjadi mangsa kes penipuan seperti ini.
Kes tersebut boleh sahaja berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira muda atau tua dan sudah tentu sebagai langkah pencegahan terbaik adalah jangan sekali terleka apabila menerima panggilan.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga telah menasihatkan kepada orang ramai agar tidak terpedaya jika menerima panggilan telefon yang mendakwa daripada pelbagai agensi kerajaan atau bank berikutan dibimbangi ia panggilan palsu.
Antara punca ramai menjadi mangsa adalah kerana mereka diumpan dengan pelbagai janji manis daripada ‘agensi’ tersebut. Mereka menjanjikan keuntungan lumayan seperti pulangan wang berlipat ganda daripada jumlah yang dilaburkan dalam masa singkat. Disebabkan janji itu, ramai yang terjebak dengan penipuan terbabit.
Kerugian yang akan dialami bukan sahaja memberikan kesan negatif ke atas ekonomi negara malah menjadi pencetus kepada masalah sosial.
Selain itu juga, ia boleh mendatangkan masalah kepada individu atau keluarga kerana dikhuatiri akan menjejaskan aspek kewangan, kesihatan, emosi dan mental mangsa.
Sehubungan itu, kita perlu bersama-sama memainkan peranan dalam mengurangkan kes penipuan sindiket haram di Malaysia. Jadilah pengguna peranti pintar yang sentiasa berwaspada dengan ancaman scammer bagi mengelakkan kerugian.
Kita mesti peka dengan keadaan semasa dan terus berhati-hati dengan keadaan sekeliling supaya tidak menjadi mangsa. – UTUSAN
NUR AUNI AISYAH MASTARI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)