SAUDARA PENGARANG,
TAHNIAH kepada Timbalan Ketua Menteri I (TKMI) Pulau Pinang yang baharu, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dari PKR.
Mengekalkan kuota jawatan TKMI kepada calon PKR adalah wajar dari sudut jumlah kerusi yang dimenangi serta kerjasama terjalin sekian lama di bawah payung Pakatan Harapan (PH). Namun, seorang calon dari UMNO turut diberi peluang menjawat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Cuma saya agak terkilan sedikit kerana kuota kerusi Exco Melayu (selain kuota DAP) semakin berkurangan daripada empat sebelum ini jika dibandingkan dengan penduduk Melayu yang hampir 800,000 dari keseluruhan 1.7 juta rakyat Pulau Pinang.
Walaupun diperuntukkan tiga jawatan Exco Melayu dari 11 kesemuanya namun itu bukanlah isu besar jika mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan secara serius dan ikhlas. Setinggi tahniah kepada Exco yang baharu dilantik bagi sepanjang tempoh lima tahun yang mendatang.
Kepada TKMI, tanggungjawab berat yang sedang menanti terutama sekali melibatkan soal tadbir urus kaum Melayu dan Islam di Pulau Pinang yang perlu ditangani tanpa tunduk kepada sebarang tekanan.
Dicadangkan agar diperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di atas tanah wakaf yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan khasnya yang berada di dalam kawasan bandar.
Tanah wakaf di kawasan bandar seperti Kampung Makam dan Kampung Dodol wajar dibangunkan semula kerana dikhuatiri dalam jangka masa panjang bakal ditenggelami akibat dari kerakusan pembangunan pesat di sekelilingnya.
Tafsiran sebenar pendudukan tanah wakaf adalah bagi meramaikan kaum Melayu bermastautin dengan cara pembangunan semula dan lebih afdal jika berkonsepkan ciri-ciri Islamik.
Pada waktu yang sama kerajaan negeri disarankan agar soal perancangan dan pembangunan di negeri ini haruslah bebas dari istilah ‘mesra pemaju’ dan tidak hanya memberi perhatian kepada pembangunan bertaraf mega yang tidak memberi faedah besar kepada rakyat. – UTUSAN
RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik