SAUDARA PENGARANG,
SAYA berharap agar akar umbi UMNO terus menzahirkan tanda sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan parti serta turut membantu memenangkan calon daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Pengundi perlu mengetepikan soal yang remeh-temeh dengan menunjukkan semangat perpaduan dan bersatu padu dalam memastikan Perikatan Nasional (PN) ‘rebah’ di Kedah.
Bahkan, rakyat di negeri itu juga sudah lama berharap pentadbiran Kedah dapat ditukar kepada kerajaan perpaduan selari pentadbiran di peringkat Persekutuan supaya segala urusan untuk memajukan Kedah dapat dilakukan dengan lebih teratur dan terancang.
Kita tidak mahu lagi Kedah terus ditadbir oleh seorang yang dalam fikirannya hanya berpolitik 24 jam sehari seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin sekarang. Sepatutnya pemimpin terbabit menunjukkan tahap profesionalisme tinggi sebagai ketua kerajaan negeri.
Lebih memalukan apabila pemimpin terbabit terperangkap dengan mainan politiknya sendiri. Rakyat Kedah perlu celik dan memandang ke hadapan untuk terus menyokong aspirasi Malaysia Madani oleh kerajaan perpaduan dan memastikan ia dapat direalisasikan di negeri itu selepas pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu ini.
Dalam perkembangan lain, tinjauan saya di Kedah mendapati bendera PN dipacak sesuka hati tanpa mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh PRN.
Terdapat bendera parti itu yang dipacak mengganggu penglihatan pengguna jalan raya dan ini boleh mengundang kecelakaan. Saya agak kesal dengan sikap para petugas PN terutamanya jentera pilihan raya Pas yang memacak bendera parti di tempat yang tidak dibenarkan.
Sepatutnya sebagai petugas, mereka perlu peka dan patuh segala arahan yang ditetapkan SPR. Pun begitu, parti lain janganlah terus berdiam tanpa melakukan sesuatu.
Sebaik-baiknya parti-parti terbabit melaporkan kesalahan itu kepada pihak yang berkenaan. Jika keadaan memaksa, cabut sahaja bendera parti yang diletakkan tanpa memikirkan keselamatan orang awam. – UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT, Pulau Pinang