Jangan asyik berkempen jatuh maruah calon lain - Utusan Malaysia

Jangan asyik berkempen jatuh maruah calon lain

AKTIVITI berkempen oleh parti-parti politik yang bertanding pilihan raya negeri nampaknya semakin rancak. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TARIKH pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang dijadualkan pada 12 Ogos ini sudah semakin dekat. Ekoran dari musim PRN tersebut, aktiviti berkempen oleh parti-parti politik yang bertanding menjadi semakin rancak.

Aktiviti tersebut berjalan siang dan malam, melalui pelbagai cara. Ada yang berkempen menggunakan pentas, ada berkempen dari rumah ke rumah dan lebih rancak kempen menggunakan pelbagai saluran media sosial.

Walau bagaimana sekalipun kempen dilakukan, semuanya perlu dibuat secara beradab. Janganlah kerana terlalu ghairah berkempen hingga sanggup menjatuhkan maruah orang lain.

Jangan jadikan politik itu kotor dan tempat melabur dosa. Politik yang benar-benar dituntut ialah politik berhemah dan bersopan untuk membentuk sebuah kerajaan yang adil.

Bagi sesiapa yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung, contohilah amalan berpolitik Nabi Muhammad SAW. Sememangnya Islam menggalakkan amalan demokrasi dalam politik. Pendek kata, sesuatu keputusan yang dibuat hendaklah berasaskan suara majoriti.

Di sini saya ingin nasihatkan setiap pemimpin dan penyokong sesebuah parti politik, terimalah sahaja apa keputusan PRN kali ini dengan dada terbuka.

Apabila keputusan majoriti sudah diperoleh, tidak perlu ada bising-bising lagi. Mereka perlu menerima apa sahaja pemilihan yang dibuat oleh rakyat. Itu amalan dalam sebuah negara demokrasi. Segala keputusan di tangan rakyat.

Bagi rakyat yang menjadi pengundi pula hendaklah lebih berhati-hati semasa mengundi. Pilihlah calon yang mampu berkhidmat kepada mereka.

Jangan mudah terpengaruh dengan janji yang sukar ditepati. Kita perlu ingat, siapa sahaja boleh menabur pelbagai janji semata-mata untuk memancing undi. Bagi mereka yang bakal terpilih sebagai wakil rakyat nanti laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Janganlah apabila sudah menjadi Yang Berhormat, tidak pernah tunjuk muka menemui rakyat yang mengundi mereka. Ingatlah setiap sen elaun yang diterima adalah hasil jasa rakyat yang memilih mereka. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya