SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) barubaru ini jelas memberi mesej kepada rakyat bahawa dakwaan doktrin Islam yang dibawa oleh Pas dalam kempennya menggunakan dalil undi parti itu boleh masuk syurga adalah sangat keterlaluan.
Pun begitu, Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir menafikan perkara itu dengan mengatakan kain rentang berbaur provokasi itu suatu tindakan tidak bertanggungjawab, malah boleh mengakibatkan masyarakat berpecah-belah.
Namun, sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada kempen tersebut dilakukan oleh musuh politik Pas ataupun semenangnya sebahagian cara parti itu meraih undi.
Selain itu, terdapat juga dakwaan Pas semasa berkempen masih menggunakan isu perkauman. Mereka mengatakan kononnya tanah ini milik orang Melayu, justeru kaum lain tidak layak mendiami negara ini.
Anehnya, tiada sebarang respons balas dikeluarkan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri bagi menjawab perkara tersebut.
Tinjauan secara rawak menunjukkan Pas berjaya memenangi dan menyapu bersih kerusi di negeri pembangkang. Ini sekali gus membawa naratif bahawa Islam mengikut acuan Pas sebaliknya Jakim dan agensi Jabatan Agama Islam Negeri gagal menstrukturkan agensi-agensi di bawahnya untuk mendepani doktrin sedemikian.
Oleh demikian, kita mahukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang tahu selok-belok strategi berpolitik dan pada masa sama bijak dalam memainkan peranan menonjolkan gagasan Madani.
Kawasan yang majoriti pengundi Melayu telah terkesan dengan doktrin dan naratif Islam yang dibawa oleh Pas.
Jadi sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar kepada menteri agama baharu yang lebih agresif, inovatif dan progresif.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang