SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu memberi input berguna bagi memperkukuhkan kerajaan perpaduan dari sudut perancangan dan tindakan masa depan.
Langkah ini penting bagi mengembalikan keyakinan pengundi khususnya orang Melayu yang dilihat mempunyai kecenderungan memihak kepada Perikatan Nasional (PN).
Keputusan menunjukkan usaha dan dasar baik kerajaan perpaduan bagi membela nasib rakyat khususnya orang Melayu belum dapat diterjemahkan melalui undi semasa PRN.
Jika ditelusuri lebih mendalam terhadap analisis selepas PRN, dapat diambil beberapa kesimpulan.
Antaranya, isu peratusan keluar mengundi dalam lingkungan 70 peratus secara purata bagi enam negeri yang bertanding di dalam PRN hanya dapat ditingkatkan jika ia diadakan serentak dengan pilihan raya umum (PRU).
Oleh itu, antara keutamaan kerajaan perpaduan pada masa depan adalah bagi memastikan kedua-dua PRN dan PRU16 dapat dilaksanakan secara serentak.
Selain dapat memastikan peratusan keluar mengundi tinggi, kerajaan juga dapat jimat kos pengurusan pilihan raya.
Dalam pada itu, bagi mengembalikan keyakinan khususnya pengundi Melayu, pimpinan kerajaan perpaduan perlu bersiap sedia dengan pelan strategik dan taktikal.
Antaranya, menyediakan pelapis kepemimpinan baharu yang mempunyai bakat, komitmen dan dapat diterima rakyat.
Selain itu, langkah menangani isu kenaikan kos sara hidup dan menyediakan insentif untuk meningkatkan pendapatan rakyat perlu digiatkan secara bersungguh-sungguh.
Pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah perlu diperluaskan dengan segera bagi meringankan beban ditanggung golongan miskin bandar dan luar bandar.
Kerajaan juga perlu memberikan pelbagai insentif bagi membantu usahawan mikro, kecil dan sederhana yang turut terjejas akibat kenaikan kos bahan mentah sekali gus membolehkan mereka mengurangkan harga barangan dijual kepada pengguna.
Selain itu, program kesedaran Islam perlu ditingkatkan bagi menjelaskan fahaman Islam sebenar yang menolak ekstremis agama dan kaum.
Kerajaan juga perlu bertindak tegas bagi menangani penyebaran berita palsu dan kumpulan radikal agama serta memastikan aktiviti adu domba dan fitnah tidak berleluasa dalam media sosial.
PRN yang baru berlalu adalah permulaan awal bagi mengenal pasti punca kelemahan dan membuka ruang untuk kerajaan perpaduan menambah baik perkhidmatan untuk rakyat.
Oleh itu, kerajaan perpaduan perlu segera memperbaiki kelemahan dan mengambil tindakan pantas dan bersungguh-sungguh bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap dasar dan tekad kerajaan bagi menyelamatkan negara daripada bebanan hutang dan kenaikan kos sara hidup. Paling utama ialah mengekalkan kestabilan politik. – UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis