SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, sebanyak 188,884 calon bumiputera menolak tawaran untuk menyambungkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Banyak pandangan mengenai isu ini, antaranya generasi muda tidak berminat belajar dan ingin mendapatkan pulangan lumayan dengan cara mudah seperti menjadi pempengaruh media sosial, pengasas pelbagai jenis produk atau terus bekerja bagi mendapatkan wang.
Ya, mungkin itu antara jalan pintas untuk memperoleh wang dan ia menjadi alasan untuk tidak menyambung pelajaran, namun adakah itu jalan yang terbaik?
Saya sedih melihat klip video menunjukkan beberapa kumpulan anak muda mempamerkan taraf hidup mewah dengan barangan yang dipinjam bagi menarik orang ramai menyertai skim pelaburan yang mereka usahakan. Sampai bila generasi muda kita harus dikhayalkan dengan kehidupan penuh kepalsuan?
Atau mungkin juga realiti lambakan graduan di peringkat tinggi yang masih tidak mendapat peluang pekerjaan akan menyedarkan individu terbabit mengenai betapa sukar untuk memperoleh wang.
Bagi yang tidak dapat menyambung pelajaran kerana masalah kewangan, kini terdapat pelbagai instrumen kewangan bagi mendapatkan dana untuk tujuan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk zakat yang kini boleh dimohon dengan mudah secara dalam talian.
Justeru, semua pihak termasuk sekolah perlu cakna dan mendedahkan pelajar tentang instrumen ini lebih awal agar mereka dapat merancang masa depan dengan lebih bijak.
Sementara di peringkat komuniti pula, terdapat juga masjid yang prihatin menyediakan peruntukan khas bagi memberikan bantuan kepada anak kariah yang cemerlang namun kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.
Langkah ini amat bertepatan dengan realiti yang memerlukan jumlah perbelanjaan besar untuk melanjutkan pengajian terutamanya ketika di peringkat awal seperti kos pendaftaran dan sebagainya.
Walaupun masih terdapat beberapa kekurangan dan kekangan dalam pelbagai faktor, namun itu bukanlah alasan untuk kita menuding jari menyalahkan antara satu sama lain. Ingatlah, ilmu merupakan aset amat bernilai dalam kehidupan manusia.
Dengan ilmu nasib dan taraf hidup, manusia boleh berubah kepada yang lebih baik seterusnya menukar status mereka daripada kelompok asnaf (penerima zakat) kepada seorang muzakki (pembayar zakat). – UTUSAN
DR. MOHAMAD MUHAIMIN MOHAMAD ZAKI, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan. Universiti Sains Malaysia