Iktiraf pekerja gig dengan undang-undang lebih adil - Utusan Malaysia

Iktiraf pekerja gig dengan undang-undang lebih adil

SATU undang-undang perlu diwujudkan demi melindungi keselamatan dan kebajikan pekerja gig.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

EKONOMI gig bukan baharu di Malaysia. Ia menjadi semakin popular ketika badai Covid-19 melanda negara ini apabila banyak perniagaan dan perusahaan gulung tikar sehingga mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

Perkembangan ekonomi gig selari dengan Revolusi Industri 4.0 yang memanfaatkan kemajuan teknologi, seiring dengan pembangunan Malaysia Madani yang berteraskan kualiti hidup lebih baik di samping mengekalkan nilai-nilai murni.

Tidak hairanlah jika anak muda lebih cenderung kepada ekonomi gig kerana kebolehan mereka untuk mengendalikan teknologi dan memiliki daya kreativiti tinggi yang dapat menyumbang kepada kepesatan ekonomi gig.

Ekonomi gig dijangkakan akan terus kekal berada dalam pasaran dan bakal menjadi sebahagian daripada model ekonomi yang wujud atas dasar ‘kecemasan’, contohnya di kala pandemik atau krisis ekonomi.

Sesetengah sektor dalam ekonomi gig tidak memerlukan kemahiran atau kelayakan akademik tertentu. Mereka juga menikmati waktu kerja anjal dan bebas untuk memilih jenis pekerjaan.

Pada masa yang sama, ekonomi ini menawarkan pulangan kewangan yang tinggi dalam masa yang singkat kerana setiap individu boleh melakukan beberapa kerja dalam satu masa.

Namun mutakhir ini, banyak isu timbul ekoran daripada status pekerja gig yang tidak diiktiraf sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955. Ini menyebabkan kebajikan mereka tidak dijaga. Contohnya, ada pekerja membuat penghantaran makanan dengan menggunakan motosikal dan terlibat kemalangan jalan raya.

Malangnya, tiada insurans khusus untuk melindungi mereka dan tidak ada peruntukan untuk menyelenggarakan kenderaan yang ditunggang. Ramai dalam kalangan mereka terasa dianiaya dan terbeban, namun terpaksa meneruskan kerja demi kelangsungan hidup.

Di sini wujudnya keperluan untuk mengiktiraf mereka di bawah satu undang-undang khusus. Akta pekerja gig yang lebih terperinci seharusnya digubal untuk melindungi kebajikan mereka.

Langkah ini selaras dengan hak-hak asasi manusia yang perlu ditekankan termasuk keselamatan sosial, rawatan kesihatan dan keselamatan tempat kerja. – UTUSAN

DR. NURHIDAYAH ABDULLAH, Fakulti Undang- Undang, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya