Henti label peguam dengan gelaran tidak baik

Henti label peguam dengan gelaran tidak baik

TIDAK betul tanggapan kerjaya peguam bertentangan dengan tuntutan agama Islam. – GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT dalam kalangan masyarakat yang seolah-olah memainkan peranan sebagai ‘pemegang kunci pintu syurga’ apabila melabelkan peguam sebagai golongan yang ‘sebelah kaki ke neraka’.

Label itu diberikan kerana masyarakat sering menganggap bahawa tugas peguam adalah membela penjenayah semata-mata.

Bagi saya, mentaliti sebegini adalah toksik yang membuatkan masyarakat semakin mundur dan menyebabkan belia Melayu teragak-agak untuk meneruskan kerjaya di dalam bidang perundangan.

Izinkan saya untuk menerangkan prinsip perundangan iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Apa yang penting untuk difahamkan adalah wujud pihak lain iaitu pegawai pendakwa yang berperanan membuktikan orang kena tuduh (OKT) sememangnya melakukan jenayah.

Beban pembuktian bagi kes jenayah sejak awal perbicaraan adalah tanggungjawab pegawai pendakwa. Tugas peguam bela di dalam kes jenayah adalah menimbulkan keraguan munasabah yang relevan dalam sesebuah kes, berdasarkan fakta kes dan peruntukan dalam undang-undang.

Lebih menarik, prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah adalah sejajar dengan undang-undang Islam. Bagi sesebuah kes jenayah Islam, terdapat beberapa cabang hukuman yakni terdiri daripada hudud, qisas mahupun takzir.

Hukuman hudud dan qisas tidak dapat dikenakan kepada pesalah selagi timbulnya keraguan, sangkaan dan kekeliruan.

Maka di bahagian mana dalam hukum Islam yang menunjukkan kerjaya peguam bertentangan dengan tuntutan agama?

Sedangkan pelaksanaan hukuman di dalam perundangan Islam juga tidak boleh dijalankan sekiranya timbul keraguan seperti dinyatakan oleh pihak peguam bela.-UTUSAN

SYED HAIQAL SAYED MUSTAFAR
Pelatih dalam kamar Tetuan Sazali & Lim,
Temerloh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN