Henti kempen ortodoks menghina sesama sendiri - Utusan Malaysia

Henti kempen ortodoks menghina sesama sendiri

KEHANGATAN pilihan raya negeri (PRN) kali ini dirasai sama panas suhunya seolah-olah rakyat berdepan dengan pilihan raya umum (PRU). – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PILIHAN raya negeri (PRN) pada Sabtu ini disifatkan sebagai menarik dan signi­fikan kerana ia berperanan sebagai kayu pengukur kepada gabungan kerajaan perpaduan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRN ini dirasai sama panas suhunya seolah-olah rakyat berdepan PRU. Menariknya kali ini, banyak kerusi berdepan satu lawan satu antara gabungan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengundi pastinya mempunyai tugas lebih berat dalam PRN ini untuk meneliti lebih lengkap sebelum memutuskan untuk mengundi calon pilihan.

Ia sekali gus akan memecahkan dominasi politik Melayu-Islam antara PN membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, selain menyaksikan buat kali pertama UMNO bertanding di bawah gabungan PH.

Proses penamaan calon yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan setiap parti menampilkan wajah-wajah bakal Yang Berhormat untuk dipilih oleh rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pemilihan calon berwibawa oleh kepemimpinan parti untuk diketengahkan pada PRN kali ini adalah sangat penting.

Perlu dikaji dan diselidik secara terperinci mengenai kebolehan dan kewibawaan mereka dalam melaksanakan tugas sebagai wakil kepada parti politik masing-masing.

Dalam fasa terakhir ini, diharap setiap calon atau pemimpin yang membantu kempen lebih berhemah agar tidak dicemari dengan ­fitnah sehingga menimbulkan perpecahan kaum.

Cukup-cukuplah isu-isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) menjadi modal pemimpin politik selama ini. Apabila isu-isu ini dibangkitkan, sudah pasti ada pihak yang terkesan.

Jika begini, sampai bila perbalahan politik tentang isu tersebut akan berakhir. Setiap calon bertanggungjawab menjaga adab dan lisan masing-masing bagi mengelakkan fitnah sehingga menimbulkan sentimen kebencian terhadap kaum dan pengundi.

Berkempen secara bersih tanpa menyentuh isu sensitif merupakan politik matang perlu dilakukan oleh setiap calon bertanding.

Fokus penting dalam berkempen sepatutnya menjurus kepada isu ekonomi di mana langkah-langkah penyelesaian sewajarnya menjadi manifesto supaya dapat dicari jalan untuk mengatasinya oleh calon-calon PRN.

Inilah masa untuk membuktikan mereka bukan sekadar boleh mengutuk ­fizikal pemimpin parti lawan tetapi juga boleh mewujudkan dasar ­fiskal terbaik dan ekonomi mapan untuk pengundi mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Hentikan kempen ortodoks menghina sesama sendiri, bantulah rakyat yang hari-hari kais pagi makan pagi disebabkan ekonomi semakin sengsara.

Selain itu, calon dan juga wakil parti perlu hentikan kempen gula-gula politik dengan memberi insentif atau juga dilabelkan sebagai sogokan kepada pengundi di kawasan tertentu.

Tindakan memberi sogokan sempena PRN perlu dihapuskan bagi membentuk pemimpin yang berintegriti. Prinsip cash is king tidak wajar digunakan walaupun terdapat dakwaan mengatakan pemberian seperti ini bukan sebagai gula-gula kepada pengundi.

Ia tidak seharusnya berlaku dalam era kerajaan perpaduan yang selama ini menentang pemberian wang semasa kempen pilihan raya.

Naratif ini perlu dihentikan bagi memastikan negara bersih daripada aktiviti sogokan atau derma oleh segelintir ahli politik sempena PRN ini.

Rakyat sentiasa memerhati dan setiap calon perlu membuktikan mereka mampu menjadi pemimpin di kawasan tersebut dan bukan menjadi jaguh kampung yang hanya pandai bercakap sahaja, ibarat menanam tebu di tepi bibir.  – UTUSAN

SHAFEZAH ABDUL WAHAB, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya