Harap orang muda keluar mengundi beramai-ramai esok - Utusan Malaysia

Harap orang muda keluar mengundi beramai-ramai esok

PENGUNDI muda harus bijak memilih bukan hanya atas faktor populariti semata-mata tetapi pilihlah calon yang berkualiti. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMPEN pilihan raya negeri (PRN) sudah memasuki hari terakhir dan esok adalah hari penentuan apabila pengundi keluar beramai-ramai untuk mengundi.

PRN kali ini menyaksikan dominasi pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun berjumlah 4.9 juta daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar 9.7 juta, iaitu melebihi 51 peratus di enam negeri terbabit.

Jika dilihat pada minggu pertama kempen, parti-parti politik yang bertanding menyasarkan golongan muda untuk meraih undi melalui program-program yang diadakan khusus untuk mereka seperti konvoi bermotosikal, sukan dan sukaneka.

Parti-parti itu turut menggiatkan kempen di media sosial yang menjadi tumpuan anak muda seperti TikTok dan Facebook.

Dalam amalan demokrasi seperti diamalkan di Malaysia, kemenangan calon yang bertanding dalam pilihan raya boleh ditentukan walaupun hanya dengan mendapat kelebihan satu undi. Kemenangan ini bakal menentukan parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri.

Undi18 dan pendaftaran automatik yang mula digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu telah memberi kesan positif terhadap penyertaan pengundi muda dan yang pertama kali mengundi.

Pun begitu, jika dilihat peratusan keluar mengundi dalam PRU15 berkurangan berbanding pada PRU14, iaitu merosot sebanyak lapan peratus. Peratus keluar mengundi pada PRU15 sebanyak 74 peratus berbanding pada PRU14 (82 peratus).

Antara faktor dikenal pasti kenapa berlakunya kemerosotan keluar mengundi pada PRU15 adalah kerana kurang rasa tanggungjawab menunaikan hak sebagai seorang warganegara, tidak peka situasi politik tanah air dan berasakan undi mereka tidak bermakna.

Pengundi muda khususnya harus bijak memilih bukan hanya atas faktor populariti semata-mata tetapi pilihlah calon yang berkualiti untuk memberi khidmat terbaik kepada penduduk di kawasan dimenanginya dan mampu merencana masa depan negeri dalam tempoh lima tahun mendatang.

Adalah diharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRN kali ini. Gunakan hak sebagai seorang warganegara bertanggungjawab untuk memilih parti mana yang akan membentuk kerajaan negeri.

Setiap pengundi yang layak perlu mengambil bahagian dalam proses demokrasi ini. Justeru, anak muda perlu bijak membuat pilihan di atas kertas undi.

Undi anda bakal penentu kemenangan calon. Jom, turun beramai-ramai mengundi esok demi tanggungjawab kita kepada tanah air. – UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ SAID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya