SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini kerajaan telah memutuskan bahawa dasar gaji minimum yang diperkenalkan sejak 2013 akan digantikan dengan dasar gaji progresif dengan penyesuaian tertentu.
Dikatakan ia adalah campuran dasar gaji minimum untuk sektor-sektor tertentu dan sebuah dasar gaji progresif yang dibezakan mengikut sektor dengan kerajaan mengesyorkan jumlah kenaikan gaji untuk setiap sektor.
Tidak akan ada paksaan terhadap pihak majikan, maka terpulang kepada mereka untuk memutuskan sama ada mahu memakainya tetapi majikan yang melaksananya akan diberi ganjaran oleh kerajaan.
Logik dasar gaji progresif adalah produktiviti akan meningkat apabila pekerja menjalani latihan berterusan untuk meningkatkan kemahiran diri mereka. Produktiviti lebih tinggi membawa kepada keuntungan lebih tinggi dan dengan itu gaji yang lebih tinggi.
Adakah dasar gaji progresif ini akan membebaskan pekerja daripada kesusahan dan membawa kepada sebuah ekonomi yang lebih kukuh? Pelaksanaannya adalah penting dan terdapat banyak cabaran yang akan dihadapi oleh kerajaan dalam hal ini.
Dasar gaji minimum sememangnya merupakan campur tangan oleh kerajaan yang sangat diperlukan pada ketika pekerja-pekerja tidak mahir dan berkemahiran rendah dibayar dengan gaji yang terlampau rendah yang diputuskan oleh majikan masing-masing.
Berbanding dengan dasar gaji minimum yang lebih jelas dan mudah, dasar gaji progresif pula nampaknya lebih kompleks dari segi pentadbiran dan penguatkuasaan.
Kita diberitahu bahawa Singapura telah mengamalkan model gaji progresif dengan berjayanya sejak 2012. Namun, itu Singapura yang berbeza berbanding Malaysia.
Selama beberapa dekad yang lalu, persekitaran perburuhan di Malaysia adalah tidak mesra pada pekerja. Kadar penyertaan kesatuan sekerja telah merosot secara berterusan kepada hanya 5.8 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia pada masa ini.
Undang-undang kesatuan sekerja yang menyekat menjadikan hampir mustahil untuk membentuk kesatuan sekerja, manakala pindaan terhadap undang-undang buruh secara berkala telah menjejaskan hak pekerja.
Penindasan terhadap kuasa rundingan pekerja ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mewujudkan imej mesra perniagaan, untuk mengekalkan ekonomi bergaji rendah yang bersaing bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI).
Dalam suasana di mana pekerja berada dalam kedudukan yang lemah ini, penguatkuasaan harus menjadi keutamaan tertinggi untuk memastikan pematuhan kepada dasar dan pekerja tidak dieksploitasi dan dibuli.
Namun realitinya adalah penguatkuasaan sangat kekurangan, masih tidak berkesan atau tidak wujud langsung. Sebagai contoh, sehingga kini, dengan kurang daripada setahun untuk dasar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan tamat tempohnya, ratusan ribu pekerja masih belum dibayar mengikut kadar gaji minimum terbaharu itu.
Tiadanya pemeriksaan buruh oleh agensi perburuhan, tiadanya kesatuan sekerja untuk mewakili mereka dan pekerja yang berani untuk membuat aduan kes terbabit hampir pasti menghadapi risiko dibuang kerja.
Inilah persekitaran yang membentuk hubungan antara majikan dan pekerja selama ini. Para majikan menikmati kebebasan daripada hukuman yang cukup baik dan sering kali terlepas daripada pendakwaan kerana pelanggaran undang-undang buruh.
Satu lagi elemen dalam dasar gaji progresif adalah latihan berkala bagi pekerja-pekerja untuk meningkatkan kemahiran diri mereka. Siapa yang akan menyediakan latihan ini? Adakah pihak majikan bersedia untuk berbuat demikian? – UTUSAN
RANI RASIAH, Kuala Lumpur