SAUDARA PENGARANG,
DAPATAN keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini memberikan isyarat jelas kepada kerajaan perpaduan.
Mesej yang disampaikan pengundi khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta sebahagian Selangor dan Pulau Pinang tentang keikhlasan dan kejujuran kerajaan perpaduan dipandang sinis. Ketegasan kerajaan memacu negara ke arah sifar rasuah dan negara berintegriti serta kecendekiawan dianggap hanya retorik politik.
Bantuan dan subsidi berbilion ringgit yang disalurkan bagi meringankan beban rakyat, diterjemah sebagai alat kempen pilihan raya.
Tiada ucapan terima kasih dan menghargai usaha ini, malah dijadikan bahan sinis sebahagian besar penerima.
Sebahagian besar rakyat tidak memahami bahasa diplomasi. Apabila kerajaan melancarkan Gagasan Malaysia Madani, mereka sindir dengan slogan ‘mahaldahni.’ Apabila kerajaan bercakap tentang pelaburan masuk, ia dilabel ‘kerajaan berbohong.’ Oleh kerana itu, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) ditolak secara besar-besaran oleh hampir 60 peratus pengundi.
Jadi, dicadangkan Penyelaras Parlimen dalam kalangan orang parti yang komited dan dedikasi dilantik di setiap kawasan Parlimen yang PH-BN tewas. Tujuannya untuk memudah dan mempercepatkan penyaluran peruntukan serta bantuan selain merekod isu, cadangan penyelesaian atau profil kawasan dengan tepat dan teratur.
Sudah pasti mereka yang dilantik lebih arif memahami denyut nadi masyarakat akar umbi selain berupaya mengenali dan mengesan pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi hingga ke rumah pengundi.
Jadi, sudah pasti tidak terlepas pandangan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan penyampaian maklumat juga boleh dilakukan secara lebih berkesan.-UTUSAN
TAN DEWA SAKTI
Tanjung Rambutan, Perak