Habbatus sauda makanan sunah yang banyak manfaat - Utusan Malaysia

Habbatus sauda makanan sunah yang banyak manfaat

BIJI habbatus sauda digunakan sebagai rempah-ratus, bahan perubatan dan dikisar sehingga keluar minyak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT pemahaman yang berbeza terhadap istilah makanan sunah dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Ada yang berpendapat makanan sunah ini adalah makanan yang disebut dalam al-Quran dan hadis sahaja.

Sementara ahli akademik pula berpendapat segala makanan yang memberi kebaikan adalah makanan sunah. Habbatus sauda atau Nigella sativa yang dianggap sebagai makanan sunah merupakan sejenis tumbuhan berbunga yang tumbuh di Asia Selatan dan Asia Barat.

Ia menghasilkan buah yang bersaiz kapsul mengandungi biji hitam. Biji habbatus sauda digunakan sebagai rempah-ratus, bahan perubatan dan dikisar sehingga keluar minyak. Habbatus sauda dipelopor oleh negara-negara Asia Barat sejak berabad dahulu sebagai bahan masakan ekoran manfaatnya yang besar dalam kesihatan.

Menurut kitab Kanun Perubatan yang dikarang oleh ahli sains Islam, Ibnu Sina, habbatus sauda bertindak balas terhadap tubuh badan manusia sebagai penyumbang tenaga dan mengurangkan keletihan.

Ia juga dipercayai digunakan sebagai penawar kepada penyakit asma, kanser, masalah pernafasan, keradangan dan dapat membantu menambah susu badan. Malah ekstrak pati minyaknya pula dipercayai dapat dijadikan penawar penyakit kulit seperti ekzema, jerawat dan kelemumur.

Makanan sunah ini juga kaya dengan mineral, karbohidrat dan lemak selain turut mengandungi mineral lain seperti thiamin, niasin, kalsium, folasin, zink dan fosforus. Kajian juga menunjukkan makanan tambahan semula jadi ini sangat sesuai kepada mereka yang berhasrat untuk menurunkan berat badan selain dapat mengurangkan keguguran rambut.

Kelebihan makanan sunah ini tidak harus dipandang sepi kerana terbukti memberi banyak manfaat sama ada dalam perubatan tradisional atau moden. Jadi, sebagai orang Islam, amat digalakkan untuk memakan makanan sunah yang terkandung pelbagai kebaikan. – UTUSAN

AUFA GHAZALI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya