SAUDARA PENGARANG,
PEREDARAN teknologi yang berkembang pesat telah mengubah gaya hidup generasi masa kini. Tidak dinafikan kecanggihan teknologi sememangnya memudahkan urusan harian dalam melakukan sesuatu pekerjaan dan komunikasi.
Tambahan pula, majoriti anak muda merupakan pengguna telefon pintar. Namun, sejauh manakah pendidikan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan anak muda?
Menerusi projek Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) yang merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan berperanan menterjemahkan konsep universiti untuk masyarakat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui program keselamatan dan jaminan maklumat menerapkan pendidikan keselamatan siber dalam kalangan anak muda menerusi projek tersebut dengan mengaplikasikan elemen gamifikasi berteraskan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran menggunakan aplikasi Swindlert.
Aplikasi ini merupakan salah satu produk dihasilkan pelajar tahun akhir Program Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi dengan memfokuskan pendidikan keselamatan siber melalui permainan berasaskan kuiz dalam bentuk papan ular (snake and ladder) dan divisualisasikan dalam realiti terimbuh (AR).
Memandangkan anak muda mudah tertarik dengan aplikasi mudah alih, Swindlert dapat memberikan ilmu keselamatan siber sambil berhibur seiring hasrat kerajaan melahirkan anak muda celik dalam bidang keselamatan maklumat.
Tambahan pula, elemen AR dapat menambah pengalaman dan meningkatkan penglibatan pengguna.
Melalui usaha itu, kes jenayah siber dalam kalangan anak muda dapat dikurangkan pada masa akan datang. Ini kerana generasi perlu dididik dari usia muda bagi pembelajaran sepanjang hayat.
Secara tidak langsung, universiti juga melahirkan pelajar yang holistik dalam menyelesaikan masalah dalam kalangan masyarakat melalui mengaplikasikan pengetahuan berkaitan teknologi.
Semoga ini menjadi wadah anak muda untuk meningkatkan pengetahuan terhadap keselamatan siber, lebih-lebih lagi ia dapat diakses pada bilabila masa dan di mana sahaja.-UTUSAN
AUFA ABDULLAH
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)