Elok pengundi nilai prestasi YB setiap enam bulan

Elok pengundi nilai prestasi YB setiap enam bulan

ANTARA elemen yang boleh dipertimbangkan untuk penilaian prestasi wakil rakyat adalah menunaikan janji dan manifesto. – GAMBAR HIASAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP kali pilihan raya, calon-calon yang bertanding akan mengungkapkan janji-janji manis ‘bulan dan bintang’ dalam kempen. Mereka bertekad untuk membantu rakyat dan berkhidmat hanya untuk rakyat.

Namun, tidak ramai calon yang diangkat sebagai wakil rakyat dapat menunaikan semua janji atau manifesto mereka.

Ada yang memberi pelbagai alasan dan ada yang diam seribu bahasa. Bagi para pengundi pula, mereka berasa ditipu.

Setelah menjadi wakil rakyat, bersalaman dengan penduduk pun cuma menghulur hujung jari sahaja sambil muka memandang ke arah lain.

Ada orang berpendapat, perkara sedemikian remeh sahaja. Perlu diingat, perkara yang remeh-temeh bagi seorang wakil rakyat adalah penting dan bermakna bagi rakyat biasa yang mengundi beliau.

Sebelum berjanji, pastikan bahawa ia boleh ditunaikan. Perlu dibuat tinjauan pendapat, kaji selidik, kajian kebolehlaksanaan dan penilaian risiko dahulu. Kemudian buat perancangan terperinci.

Mesti ada pelan A, pelan B dan pelan kontingensi bagi setiap tindakan. Walaupun janji atau manifesto itu adalah daripada kepimpinan parti, calon juga perlu memainkan peranan untuk melaksana dan memikul tanggungjawab bersama.

Agak malang bagi para pengundi kerana tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa ‘menghadap’ wakil rakyat sedemikian rupa selama lima tahun sedangkan prestasinya tidak memberangsangkan.

Untuk itu, saya ingin mencadangkan agar ditubuhkan sebuah badan penilaian prestasi wakil rakyat. Inisiatif ini boleh diusahakan oleh penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen masing-masing.

Sebagai contoh, antara elemen yang boleh dipertimbangkan untuk penilaian adalah penunaian janji dan manifesto, keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, penyelesaian permasalahan rakyat, kekerapan melawat kawasan, keterlibatan aktiviti bersama rakyat, kecekapan tindakan dan mutu perkhidmatan.

Setiap elemen mempunyai peratusan markah tersendiri. Jumlah markah kesemua elemen adalah 100%. Selain markah keseluruhan dalam peratusan, wakil rakyat juga akan diberi gred penarafan dalam bentuk huruf seperti A, B, C hingga ke F.

Gred F bermakna gagal, bersamaan dengan markah 40% dan ke bawah, misalnya. Penilaian prestasi oleh penduduk kawasan boleh dilakukan setiap enam bulan. Kepimpinan parti akan membuat penilaian dalaman pula ke atas wakil rakyat bagi setiap gred yang beliau peroleh.

Jika wakil rakyat itu berterusan mendapat gred rendah, maka kepimpinan parti mempunyai bukti kukuh untuk menggugurkannya daripada menjadi calon dalam pilihan raya akan datang. Jadi, ini akan mengurangkan kes tuding-menuding antara satu sama lain.

Begitu juga jika hal sebaliknya berlaku, yakni wakil rakyat boleh mempertikaikan jika prestasinya cemerlang tetapi masih digugurkan oleh parti.

Sistem penilaian prestasi ini lebih kepada pemantauan rakyat ke atas wakil mereka. Ia ibarat mencubit atau menjentik sedikit wakil mereka untuk menyedarkan diri dari kealpaan.-UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya