SAUDARA PENGARANG,
PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menetapkan jumlah elaun perantisan minimum kepada pelajar latihan industri (LI) atau intern pada kadar RM800 sebulan baru-baru ini menunjukkan keprihatinan kerajaan selaras dengan konsep Malaysia Madani.
Pelaksanaan pemberian elaun perantisan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menarik minat lebih ramai pelajar menjalani LI atau praktikal di syarikat berkenaan. Maka syarikat GLC boleh membuat tapisan bagi memilih pelajar yang berpotensi untuk memberikan perkhidmatan cemerlang berdasarkan kuota sedia ada dalam sesebuah syarikat.
Persaingan sihat ini akan mendorong pelajar untuk memberikan prestasi terbaik dalam pelbagai perkara dari awal masuk institusi pengajian tinggi.
Ada pelajar melihat LI bukan sekadar untuk menamatkan pengajian tetapi sebagai platform perancangan kerjaya. Pelajar mengharapkan agar mereka dapat diserap sebagai pekerja sepenuh masa di dalam organisasi tempat mereka menjalani LI setelah tamat tempoh pengajian.
Ini kerana mereka sebenarnya sedang meletakkan ‘sebelah kaki’ dalam pasaran kerja sebenar. LI adalah jambatan untuk menyerlahkan potensi diri atau dilihat sebagai tempoh perkenalan dan percubaan sebelum majikan ingin menyerap pelajar untuk terus bekerja di syarikat berkenaan.
Oleh demikian, lokasi LI adalah mustahak dan bukan sekadar ‘tangkap muat.’ Ada pelajar meletakkan matlamat untuk dapat belajar di industri dengan pengalaman dan pendedahan kerja yang komprehensif di syarikat berprestij atau bertaraf antarabangsa.
Namun begitu, syarikat yang kukuh dan besar seperti GLC dan syarikat multinasional kebanyakannya terletak di kawasan bandar atau pinggir bandar. Maka elaun LI yang diberikan kepada pelajar sedikit sebanyak membolehkan mereka bertahan untuk hidup selesa, lebih-lebih lagi di kawasan Lembah Klang.
Ini kerana ada pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar perlu berhijrah ke bandar dan terpaksa menyewa bilik sepanjang tempoh LI. Tambahan pula, kos sara hidup di bandar jauh lebih tinggi berbanding luar bandar.
Maka elaun ini adalah perlu untuk pelajar menampung kos perjalanan, penginapan, makan, teknologi maklumat dan komunikasi serta kos luar jangka lain sepanjang tempoh LI.
Pemberian elaun ini diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan dan meringankan beban selain dapat mengelakkan pelajar mendapat dua tekanan, iaitu tekanan kerja semasa di industri, ditambah tekanan kos sara hidup tinggi terutama bagi yang kurang berkemampuan.-UTUSAN
DR. ELYA NABILA ABDUL BAHRI
Fakulti Perniagaan & Ekonomi
Universiti Malaya