Cetus gelombang harmoni rakyat melalui seni, budaya - Utusan Malaysia

Cetus gelombang harmoni rakyat melalui seni, budaya

Kerajaan menyediakan RM160 juta untuk menyokong penggiat seni serta menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MEMBENTUK negara tentulah tidak semudah yang disebut-sebut semua pihak. Kita kehilangan beberapa tahun akibat pertelagahan politik berterusan, hala tuju yang asyik berubah dan kurang kepercayaan terhadap jati diri bangsa dan negara.

Namun, tidak mustahil jika kita bermula dengan membuat perubahan budaya yang menyeluruh dari segi pendidikan, masyarakat, sosioekonomi dan politik. Kita boleh melahirkan masyarakat yang mempunyai aspirasi bersama.

Diharapkan pemerintah, pemimpin, pendidik, pelajar dan semua pihak berkepentingan dapat membuka minda untuk melihat budaya sebagai satu kaedah mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan aman damai.

Kekayaan budaya akan membentuk generasi masa hadapan yang dapat hidup secara bersama. Budaya dapat menggalakkan pencarian ilmu dan cinta kepada keindahan.

Jika mengamalkan budaya bersopan santun, maka kita akan membentuk masyarakat yang saling bertoleransi dan saling memahami. Namun, budaya jelik akan menggelapkan nilai-nilai kita.

Ingatlah, masyarakat yang mementingkan budaya mempunyai peradaban tinggi dan sentiasa berpegang kepada tatasusila.

Jika kita masih membelakangkan kepentingan budaya dalam pembentukan identiti, jati diri dan pemerkasaan anak bangsa, kita tidak akan melihat cahaya di hujung terowong. Perasaan benci akan berterusan dan rakyat di negara ini akan terus berbelah bahagi.

Kenapa kepentingan seni dan budaya sering saya bangkitkan setiap kali menulis tentang perpaduan, jati diri serta identiti negara? Ini kerana sejak 1980-an lagi, pemerintah dilihat seolah-olah membelakangkan warisan seni dan budaya.

Sebenarnya, manfaat seni dan budaya amat banyak. Statistik menunjukkan industri kreatif menyumbang kurang dari dua peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita.

Di Indonesia, industri ini menyumbang tujuh hingga sembilan peratus KDNK mereka. Memandangkan budaya serumpun kedua-dua negara, kita mempunyai potensi menaikkan peratusan KDNK dari sektor seni dan budaya sebanyak lima peratus, bersamaan nilai RM8.5 bilion.

Jika industri kreatif bertambah rancak, ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan kerana ramai pelancong asing mahu merasai pengalaman seni dan budaya berbeza.

Bayangkan kesan berganda yang bakal dikecapi bersama. Seni dan budaya dapat membantu menjana pendapatan untuk sebahagian besar masyarakat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Pengusaha batik, penenun songket dan tukang ukir kayu, semuanya akan mendapat manfaat. Selain itu, tidak dapat dinafikan, komuniti seni dan budaya paling harmonis dalam kalangan rakyat.

Mereka mementingkan keindahan dan membawa naratif perpaduan kepada masyarakat. Mereka yang terlibat dalam sektor kreatif, seni dan budaya harus menggerakkan gelombang keharmonian yang amat diperlukan negara.

Apabila anak muda dekat dengan seni, budaya, adat dan adab, maka tatasusila kesopanan dan jati diri akan terbina. Jelas sekali, bidang seni dan budaya di negara ini harus dipertingkatkan.

Melalui perkongsian seni dan budaya, kita saling mengenali budaya satu sama lain dan berkasih-kasihan sesama kita.

Itulah diharapkan dapat mengurangkan jurang perpaduan yang begitu menyedihkan. – UTUSAN

NINOT AZIZ, Pengarang dan penulis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya