SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini telah diketahui. Walaupun PRN ini hanya melibatkan enam negeri, tetapi seluruh negara terasa bahangnya.
Pokok pangkalnya semua pihak perlu akur kepada keputusan yang dibuat oleh para pengundi atas semangat menjunjung proses demokrasi.
Sebagaimana proses demokrasi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dihormati, pastinya PRN ini juga menuntut kepada penerimaan sama oleh semua pihak.
Ini kerana pihak yang menang secara hakikatnya adalah rakyat sendiri kerana mereka berjaya memperlihatkan kematangan dalam menggunakan hak politik masing-masing dalam membuat pilihan.
Adat masuk bertanding pilihan raya, ada calon kalah terduduk, ada calon menang bergaya. Ada penyandang ‘kebal’ mengekalkan kerusi, ada penyandang yang kini bergelar ‘pesara.’
Tidak kurang menariknya melihat mereka yang kali pertama masuk ke gelanggang politik berjaya dipilih menjadi Yang Berhormat.
Wakil rakyat harus menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pengundi dengan segera turun padang menyelesaikan permasalahan rakyat dan menunaikan janji manifesto.
Dengan keputusan rasmi sudah diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), saya berpandangan ia sewajarnya ia menjadi noktah dan titik mula gencatan senjata kepada segala ‘perang’ politik yang tidak berkesudahan semenjak pasca PRU15 lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga dengan rendah diri mengajak rakyat kembali bersilaturahim berikutan kempen PRN telah selesai.
Seruan Perdana Menteri ini tepat pada masanya kerana saya melihat cabaran utama selepas selesainya PRN kali ini adalah untuk semua pihak meninggalkan segala perseteruan yang wujud bagi kembali bermuafakat demi kepentingan dan kebaikan rakyat, negeri dan negara secara matang dan ikhlas.
Dengan mengambil semangat biduk berlalu, kiambang bertaut, carilah titik damai politik selepas PRN. – UTUSAN
MOHD. ZAINI OTHMAN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)