SAUDARA PENGARANG,
GLOBALISASI dan teknologi digital adalah dua elemen utama yang wujud sewaktu generasi Z dilahirkan antara 1997 hingga 2012.
Perkara yang menggusarkan adalah apabila generasi Z ini kurang atau tidak begitu memahami tentang sejarah negara bangsa kerana lebih banyak disumbat dengan hiburan yang mudah diakses pada bila-bila masa.
Mereka juga lebih suka menyendiri dari bertemu muka untuk berinteraksi bagi mengetahui lebih lanjut tentang peristiwa-peristiwa bersejarah dengan guru atau pensyarah dalam bidang sejarah.
Kajian yang saya lakukan mengenai kaedah bagi mencetuskan semangat patriotisme mendapati mereka lebih menyenangi elemen berunsur sejarah disajikan melalui platform digital seperti video.
Tayangan video tentang peristiwa bersejarah ini perlu dalam tempoh singkat dan menarik dari segi warna.
Kaedah dalam kelas yang konvensional hanya bergantung kepada slaid pengajaran sahaja menyebabkan pelajar dalam kalangan generasi Z kurang rasa minat untuk mempelajari sejarah.
Maka khususnya apabila menyentuh tentang perjuangan kemerdekaan perlu kreatif dan dinamik supaya platform penyampaian tidak statik.
Menjiwai perasaan generasi Z bukan bermaksud mengikut kemahuan mereka tetapi sejajar dengan transformasi masa kini. Inilah cabaran memupuk semangat kemerdekaan dalam kalangan generasi Z yang begitu hampir dengan dunia digital sedangkan peristiwa bersejarah begitu jauh dengan kehidupan mereka.
Justeru, dalam memastikan generasi Z tidak leka dengan pengaruh teknologi digital yang sentiasa terkini dan alpa dengan sejarah bangsa dan negara, maka peranan kerajaan dan masyarakat perlu digembleng untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan mereka.-UTUSAN
JAZLIZA JAMALUDDIN
Universiti Utara Malaysia (UUM)