Bimbang ‘perangkap maut’ di Lebuh Raya Karak - Utusan Malaysia

Bimbang ‘perangkap maut’ di Lebuh Raya Karak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberikan sedikit pandangan berkenaan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya apabila menggunakan lebuh raya khususnya Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (Lebuh Raya Karak).

Isu ini semakin memberi kesan apabila berlaku mendapan tanah di Kilometer 66.1 berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong, baru-baru ini.

Kejadian tanah mendap yang juga berdekatan Plaza Tol Bentong dikenal pasti berpunca daripada pembinaan terowong Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kita semua sedia maklum, pembinaan lebuh raya adalah untuk keselesaan dan keselamatan pemandu seperti tidak perlu mengekori kenderaan berat.

Terdapat lebih banyak lorong untuk pelbagai jenis kenderaan, had laju yang ditetapkan bagi mengurangkan kemalangan, tempat khusus meletak kenderaan jika berlaku kecemasan serta kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk berehat seketika selepas penat memandu.

Melalui ruangan ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca dan pengguna jalan raya lain mengenai pengalaman yang pernah dilalui di lebuh raya itu terutama pada waktu malam dan ketika hujan.

Saya selalu juga menggunakan Lebuh Raya Karak apabila ada urusan di Lembah Klang dan diharapkan pandangan saya ini diambil berat oleh pemegang konsesi lebuh raya, iaitu Anih Berhad demi keselamatan pengguna.

Antaranya ialah tembok pembahagi di tengah-tengah lebuh raya yang warnanya agak kelabu dan kehitaman hingga menyukarkan pemandu melihatnya lebih-lebih lagi ketika hujan lebat.

Kesukaran paling utama dihadapi pemandu adalah apabila ingin memotong di lorong paling kanan kerana warna tembok gelap dan menyukarkan pemandu untuk mengagak jarak kenderaan yang dipotong.

Kita semua sedia maklum, kenderaan yang dipandu di lebuh raya melebihi 90 kilometer (km) sejam dan sebarang kesilapan dan kekeliruan boleh mengundang kepada kecelakaan dan kehilangan nyawa.

Oleh itu, pengurusan Anih Berhad diharap dapat mengecat tembok pembahagi lebuh raya dengan warna putih serta hitam agar mudah dilihat terutama pada waktu malam.

Selain itu, di sesetengah tempat di lebuh raya, garisan putih hampir tidak kelihatan langsung dan ini sudah tentu berbahaya terutama ketika hujan lebat.

Saya juga berharap di sesetengah kawasan lebuh raya ini dipasang lampu menggunakan tenaga suria supaya keadaan persekitaran terang sekali gus dapat mengelakkan kemalangan.

Untuk jangka masa panjang, saya melihat Lebuh Raya Karak sudah tidak dapat menampung jumlah kenderaan lagi terutama ketika hari perayaan dan hujung minggu.

Saya melihat kesesakan kerap berlaku selepas kawasan Lentang sehinggalah ke Plaza Tol Gombak jika dari Pantai Timur dan jika menghala ke Pantai Barat, kesesakan bermula dari Plaza Tol Gombak sehinggalah ke Plaza Tol Bentong.

Oleh itu, diharapkan kerajaan dapat membina laluan alternatif bermula berhampiran Lentang ke Gombak jika ke Kuala Lumpur dan laluan baharu di Gombak ke Lentang agar aliran trafik dapat dilencongkan supaya kesesakan dapat diatasi kerana kenderaan akan bertambah setiap hujung minggu.

Pembinaan laluan baharu Central Spine Road (CSR) sepanjang 350 km dari Bentong ke Kuala Krai, Kelantan adalah untuk mengatasi kesesakan luar biasa di bandar Bentong dan bukannya menyelesaikan masalah kesesakan di Lebuh Raya Karak.

Kesesakan di bandar Bentong hanya berlaku pada hari perayaan tetapi kesesakan di Lebuh Raya Karak berlaku setiap hujung minggu. – UTUSAN

RISAU DAN RIMAS, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya