SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya dan dua anak masing-masing berumur lapan dan 10 tahun, jatuh sakit. Kami mengalami demam yang berkemungkinan besar berpunca daripada jangkitan di sekolah.
Bagi kami yang hidup secara sederhana di tengah-tengah ibu kota, jatuh sakit adalah sesuatu yang amat membebankan. Bukan sahaja menjejaskan fizikal tetapi juga memberi tekanan dari segi kewangan.
Terutama bila lebih daripada seorang ahli keluarga perlu mendapatkan rawatan di klinik swasta pada masa sama. Maklumlah, kos konsultasi dan perubatan bukan murah sekarang.
Untuk batuk dan selesema pun boleh mencecah RM40 seorang dan mungkin lebih mahal jika doktor beri preskripsi ubat antibiotik.
Namun, alhamdulillah, saya dapat menggunakan kemudahan Skim Perubatan Madani yang dilancarkan kerajaan, bulan lepas. Menerusi skim ini, lawatan saya ke klinik swasta tempoh hari bersama dua anak adalah percuma.
Ini termasuk ubat diberikan doktor. Proses mendaftar pun amat mudah, cuma perlu membawa kad pengenalan saya selaku ketua isi rumah serta anak-anak.
Segala proses dilakukan secara dalam talian di klinik dan tidak melibatkan kerenah birokrasi yang rumit.
Saya percaya jika menggunakan duit sendiri untuk membayar caj konsultasi dan perubatan mungkin mencecah RM100 bagi kami bertiga.
Alhamdulillah, saya tidak dikenakan sebarang bayaran kerana tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Kami sekeluarga dapat menggunakan kemudahan ini sehingga akhir tahun dengan had RM250 untuk setiap isi rumah.
Bagi yang mampu, mereka mungkin memandang enteng akan inisiatif ini. Tetapi tatkala kos sara hidup semakin mencabar, inisiatif sebegini amat dihargai oleh golongan kurang berkemampuan.
Untuk itu, saya berharap keprihatinan kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam bidang kesihatan diteruskan dalam Belanjawan 2024. – UTUSAN
MOHD. YAAKOB SULAIMAN, Kepong, Kuala Lumpur