SAUDARA PENGARANG,
ADAKAH Perikatan Nasional (PN) ketandusan tokoh? Itulah persoalan kebanyakan daripada kita apabila melihat gabungan parti politik itu masih menjadikan individu yang dipecat oleh UMNO sebagai penggerak utama.
Langkah PN mengangkat ahli dipecat di dalam UMNO sebagai tokoh yang hebat dan mampu membawa kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) menyebabkan berlaku salah tafsir bahawa gabungan itu mengalami defisit ketokohan.
Ini sekali gus membuktikan PN tidak mempunyai calon-calon hebat dan perlu bergantung harap pada bekas pemimpin UMNO yang telah dipecat.
Andaian calon yang dipecat UMNO mampu membawa kemenangan dalam PRN adalah sesuatu yang ganjil dan pelik kerana nama-nama tersebut tidak memberi apa-apa sumbangan signifikan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Bekas pemimpin UMNO terbabit hanya akan menjadi bebanan terhadap PN terutama apabila mereka dicalonkan untuk bertanding pada PRN kali ini.
Menariknya, bekas pemimpin yang dipecat UMNO itu pun masih tidak pasti hala tuju mereka memandangkan kebanyakannya dikatakan tidak menarik balik pegangan terhadap keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu No Anwar, No DAP, No Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mereka yang dipecat dari UMNO yang kemudiannya mewakili PN dalam PRN pasti mempunyai imej yang tidak boleh dibuang dengan mudah, iaitu dilabelkan sebagai pengkhianat.
Jalan terbaik bagi mereka adalah untuk bertanding sebagai calon Bebas jika betul mereka membawa aura popular dan mempunyai magnet yang mampu menarik sokongan pengundi.
Itu adalah jalan yang tepat tanpa perlu mereka menggadai prinsip menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan Bersatu.
Namun, tidak ramai yang sanggup berbuat demikian kerana sebagai calon Bebas, mereka lebih mudah untuk kalah dalam PRN sekali gus menjejaskan reputasi masing-masing.
Sukar juga untuk mereka menyertai parti-parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan kerana tiada mana-mana mahu mengguriskan hati dan perasaan UMNO.
Lagipun, Anwar telah mewujudkan kesatuan fikrah dan tekad untuk mewujudkan kesefahaman yang padu di dalam kerajaan perpaduan.
Jika bekas pemimpin UMNO ini menyertai PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah) pun, belum tentu mereka akan menang jika bertanding PRN kerana rakyat sudah bijak menilai bagi memilih calon wakil rakyat yang mempunyai idealisme dan sikap bersungguh-sungguh untuk membina negara.
Dasar kerajaan perpaduan untuk menolak calon-calon yang telah dipecat ini dilihat mampu meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat.
Justeru, sudah pasti calon-calon di dalam PRN yang mewakili parti gabungan kerajaan perpaduan mempunyai kewibawaan dan diyakini rakyat berbanding calon-calon yang dipecat dari UMNO dan kemudian diangkat sebagai calon mewakili PN.
Oleh itu, kenyataan dikeluarkan oleh sebahagian pimpinan PN yang gabungan itu mampu menang di semua negeri perlu dilihat lebih teliti sama ada benar atau hanya propaganda kerana ahli-ahli yang dipecat UMNO mahupun yang bakal dipecat sudah pasti tidak memberikan apa-apa hasil signifikan pada PRN kali ini.
Saya berpendapat kepimpinan Anwar dengan sokongan pemimpin semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik dan mempunyai hala tuju jelas. – UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis