SAUDARA PENGARANG,
SAYA memohon kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan RapidKL supaya menambah laluan baharu untuk pengangkutan bas henti-henti di koridor Jalan Pahang, Kuala Lumpur bermula dari Wangsa Maju, Setapak Jaya dan Taman Teratai Mewah terus ke Lebuh Ampang.
Kawasan ini sudah semakin padat dengan penduduk tetapi malangnya perkhidmatan bas yang disediakan masih tidak memadai dari segi bilangan laluan serta kekerapan perjalanan untuk laluan sedia ada.
Kesesakan serius di Jalan Genting Klang dan Jalan Pahang dijangka bertambah parah apabila beberapa projek kediaman baharu yang sedang dalam pembinaan di Setapak dan Wangsa Maju siap dalam beberapa tahun lagi.
Hanya ada satu perkhidmatan bas, iaitu Laluan 250 yang membawa penumpang dari Wangsa Maju terus ke Lebuh Ampang manakala laluan lain kebanyakannya berakhir di Jalan Chow Kit.
Sebelum ini penumpang dari Seksyen 10, Wangsa Maju; Setapak Jaya; Taman Sri Rampai dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas dapat terus ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Lebuh Ampang dengan menaiki bas Laluan 252.
Bagaimanapun, laluan itu telah terhenti akibat penamatan operasi syarikat Len Seng Sdn. Bhd. pada 2019. Kini cuma tinggal Laluan 251 (AU3 Keramat-Chow Kit) sahaja yang dioperasikan oleh RapidKL.
Dari Jalan Chow Kit memang ada perkhidmatan bas percuma dan monorel untuk ke destinasi seterusnya tetapi fikirkan juga kesukaran warga emas, penumpang yang membawa banyak barang untuk menukar bas dua kali serta faktor cuaca terutama ketika musim hujan. Justeru, Laluan 252 wajar diwujudkan semula demi kemudahan orang ramai.
Akhir sekali, saya mencadangkan RapidKL memperkenalkan bas elektrik bersaiz mini untuk memudahkan pergerakan bas di laluan sempit sebagai contoh di Taman Teratai Mewah dan Flat Seksyen 10, Wangsa Maju. – UTUSAN
PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM, Kuala Lumpur