SAUDARA PENGARANG,
BELANJAWAN 2024 akan dibentangkan pada Oktober ini. Kami merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menggantikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dibayar secara berperingkat dalam setahun dengan Bantuan Sara Hidup (BSH) secara bulanan.
Langkah memberi BSH secara bulanan boleh membantu menamatkan kemiskinan tegar dengan segera menjelang lewat 2020-an.
Pembayaran BSH secara bulanan yang kami cadangkan adalah untuk isi rumah berpendapatan RM6,000 sebulan. Bagi individu bujang 18 tahun ke atas berjumlah RM2,700 sebulan, warga emas tanpa pasangan RM4,000 sebulan dan individu bawah 18 tahun RM700 sebulan.
Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu berhak menerima bantuan bulanan tersebut kerana mereka memang tergolong dalam kalangan orang susah.
Selain itu, Jualan Rahmah yang menawarkan potongan harga 45 peratus lebih murah bagi kesemua jenis produk makanan dan minuman serta produk penjagaan diri perlu dilaksanakan tiga kali seminggu.
Iaitu Selasa, Rabu dan Ahad serta menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas selepas pembentangan Belanjawan 2024.
Tambang Rahmah bagi keseluruhan pengangkutan awam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak pula yang menawarkan potongan harga 50 peratus lebih murah perlu dilaksanakan segera setiap hari bagi menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam.
Kami berharap Perdana Menteri menerima cadangan ini jika hendak membasmi kemiskinan tegar dengan segera dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober ini.
Berdasarkan laporan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) baru-baru ini, terdapat kira-kira 118,000 orang miskin tegar di negara ini. – UTUSAN
HENDAK KEMISKINAN TEGAR DIHAPUSKAN, Kuala Lumpur