SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Persatuan Kenderaan Elektrik Malaysia (EVAM) dalam satu kenyataan menyatakan Malaysia adalah antara negara terbaik bagi industri kenderaan elektrik (EV) kerana ia mempunyai kepakaran sesuai untuk pelaburan dan eksport.
Dikatakan negara ini mempunyai infrastruktur, kumpulan tenaga kerja, kemahiran dan teknologi inovatif yang tepat untuk menyokong industri EV dan memenuhi keperluan rantaian nilai global di Asia Tenggara dan melangkauinya.
Pada masa sekarang, sudah ada segelintir syarikat tempatan yang mengeksport komponen kepada pengeluar EV di seluruh dunia.
Dalam pada itu, sumbangan lain yang ditagih daripada pakar-pakar tempatan adalah bagi mengatasi masalah kebakaran EV.
Pada bulan lalu, sebuah kapal kargo, Fremantle Highway membawa lebih 3,700 kenderaan terbakar berhampiran pantai Belanda. Kapal itu membawa 3,783 kereta dari Jerman ke Mesir termasuk 498 EV.
Laporan awal siasatan kemalangan itu menyatakan pemanasan pada bateri sebuah EV disyaki menjadi punca kebakaran.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini memberi amaran tentang bahaya kebakaran bateri EV ketika proses pengangkutan.
Ini berikutan tindak balas kimia yang menyebabkan suhu bateri tidak terkawal serta berlaku peningkatan tekanan.
Ini bukan kali pertama kejadian itu berlaku kerana pada Mac 2022, sebuah kapal kargo, Felicity Ace dalam perjalanan dari Jerman ke AS karam di luar pantai Portugal setelah terbakar dipercayai akibat pemanasan bateri litium EV.
Turut tular dalam media sosial, sebuah EV jenama terkenal yang dijangka dibawa masuk ke Malaysia tidak lama lagi meletup di petak letak kenderaan di Shanghai, China pada 2020.
Jurutera Malaysia perlu mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap masalah itu yang dipercayai berpunca daripada kerosakan pada mikrocip yang dipasang pada kenderaan terbabit bagi tujuan penjejakan termasuk mengukur kelajuan, lokasi dan masa.
Kecacatan pada pateri mikrocip terbabit yang mengekstrak data dari semasa ke semasa menyebabkan ada masa tertentu ia tidak berfungsi dan menjadi terlalu panas.
Oleh kerana ia dipasang berdekatan petak bateri, maka percikan api dari mikrocip boleh menyebabkan berlaku letupan. Antara penyelesaian dicadangkan adalah tidak memasang mikrocip dalam kereta yang sudah tentu sukar dilaksanakan.
Cadangan lain adalah mengalihkan lokasi mikrocip jauh dari petak bateri atau meningkatkan kawalan kualiti mikrocip. Kejadian EV terbakar secara tiba-tiba yang masih berlaku membuktikan cadangan penyelesaian itu masih terdapat kelemahan.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan perlu mengeluarkan garis panduan kepada pesakit yang memakai perentak jantung. Ia adalah alat elektronik yang dipasang untuk mengawal dan mengatur degupan jantung supaya teratur mengikut rentak yang diperlukan.
Difahamkan pesakit terbabit tidak boleh memandu dan menjadi penumpang EV kerana gelombang elektromagnetik dari bateri akan mengganggu perentak jantung. – UTUSAN
HAJI KAMIL, Shah Alam, Selangor