SAUDARA PENGARANG,
AMRON Omar adalah nama yang tidak asing lagi dalam arena seni visual negara dan merupakan seorang seniman figuratif tersohor. Karya beliau yang terkenal adalah lukisan figuratif seni mempertahankan diri, iaitu silat.
Pameran Amron bertajuk Biar budi hanya setitik, langit dan bumi ada di dalam yang dianjurkan dari 5 hingga 30 Julai lalu memaparkan 81 hasil karya beliau di Pusat Seni Segaris, Kuala Lumpur. Pameran ini melibatkan beberapa segmen seperti pameran karya Amron, ceramah seni dan sesi melukis. Ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali serta menghayati karya beliau.
Perasmian pameran solo Amron berjalan lancar pada 18 Julai lalu yang turut diserikan dengan kehadiran oleh tetamu kehormat, Duta Besar Kedutaan Republik Azerbaijan di Malaysia, Irfan Davudov dan Pengarah Kanan Pelaburan, Ekuiti Nasional Berhad, Aliff Omar Mohamad Omar.
Karya-karya Amron mempunyai nilai estetika tersendiri kerana ia bukan sahaja untuk diteladani tetapi juga untuk difahami. Bahkan, Irfan tertarik dengan hasil seni Amron yang mempunyai elemen kelainan dan tersendiri. Beliau amat teruja dengan hasil lakaran figura di atas tisu yang dipamerkan, tambah lagi dapat menyaksikan persembahan silat dinamakan Silat, karya Amron yang terkenal.
Lawatan Irfan ke majlis ini juga menyuntik semangat baharu dan memberi inspirasi kepada artis tempatan. Lawatan wakil luar negara ini telah merangsang artis tempatan untuk menyebar luas dan berkembang di peringkat antararabangsa.
Pameran seni seperti ini merupakan platform penting dan unik untuk mencapai matlamat kebudayaan negara dalam membentuk Malaysia sebagai hab budaya pusat dan destinasi pelancongan yang unik di dunia. Di samping itu, ia menyediakan peluang untuk kerjasama dan pertukaran antara organisasi kebudayaan kebangsaan dan sektor kerajaan Malaysia dan Azerbaijan bagi meningkatkan taraf seni di dalam dan luar negara.-UTUSAN
ASMAHAN RAZAK
Penulis bebas