SAUDARA PENGARANG,
PARTI politik hanyalah wadah atau wahana yang perlu diurus atau ditadbir oleh sebuah pemerintahan. Namun begitu, menurut ahli falsafah, secara teoritikalnya manusia itu secara semula jadi telah berpolitik apabila membebel, mengomel serta meratib. Akan tetapi tabiat seperti ini bertentangan dengan nilai dan peradaban manusia.
Justeru, menjadi tanggungjawab sebagai pengikut untuk memperbetulkan atau memilih keluar dari parti jika barisan kepimpinan melakukan kesalahan atau menyeleweng daripada prinsip dasar parti.
Bahkan kita perlu percaya dan menghormati prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah bahkan tiada keraguan pada prinsipnya. Namun begitu, setiap kes pendakwaan perlu dilihat dari dua sudut, iaitu adakah kes tersebut melibatkan kepentingan peribadi atau rakyat?
Dunia teknologi dan multimedia hari ini membolehkan segala informasi termasuk kes mahkamah boleh diakses dengan mudah.
Segalanya hanya di hujung jari. Justeru, sepatutnya golongan pentaksub ini sudah mendapatkan maklumat yang betul.
Jadi, mengapa perlu mempertahankan ahli politik yang terang-terang sudah bersalah?
Mengapa juga sanggup menyebarkan kebencian terhadap seteru politik?
Seperti isu rumah agam membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang dinafikan oleh beliau dengan mengatakan kediaman mewah itu milik abangnya. Jika dilihat ramai, hanya pentaksub Muhammad Sanusi yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pas mempertahankan dakwaan tersebut.
Melihat pada kes seperti ini, maka sudah tiba masanya kerajaan memperkasakan iltizam politik serta dicadangkan rang undang-undang perdanaan politik diluluskan segera bagi mengelak kejadian sama berulang lagi.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang