ADUN jangan utama agenda politik peribadi

ADUN jangan utama agenda politik peribadi

WAKIL rakyat hendaklah mampu berhujah dengan baik ketika sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). – GAMBAR HIASAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 12 Ogos lalu, rakyat Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang mengundi memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia satu lagi peristiwa penting dalam sistem demokrasi negara kita yang merupakan satu tanggungjawab besar buat semua pengundi untuk memilih dengan bijaksana berdasarkan keperluan kawasan dan negeri masing-masing.

Ia bukan semata-mata satu proses populis sebaliknya perhitungan kelangsungan pucuk pimpinan kerajaan di negeri-negeri tersebut untuk tempoh lima tahun lagi.

DUN memegang kuasa besar dengan tanggungjawab untuk meluluskan undang-undang negeri. Tindak-tanduk wakil rakyat yang dipilih dalam membuat keputusan penting sewaktu sidang Dewan secara langsung mempengaruhi kehidupan penduduk di kawasan yang mereka wakili.

Dari bidang pendidikan dan kesihatan hingga infrastruktur dan pembangunan ekonomi, keputusan yang diambil di dalam Dewan ini akan membentuk masa depan negeri-negeri.

Adalah penting kita memahami tugas dan peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Yang utamanya adalah untuk mewakili kepentingan dan keperluan rakyat di peringkat negeri.

Rakyat bukan sekadar mengundi individu-individu yang karismatik atau parti politik, tetapi memberikan amanah kepada wakil rakyat yang mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kesungguhan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka secara cekap terutama ketika berada dalam sidang DUN.

ADUN terbabit hendaklah mampu berhujah di dalam Dewan dan menjadi penggubal undang-undang peringkat DUN. Wakil-wakil rakyat yang dipilih mesti mempunyai kemampuan, rekod kerja dan dasar-dasar yang sesuai dengan keperluan semasa rakyat.

Para ADUN yang telah menang harus menunjukan komitmen untuk menyantuni rakyat, mengutamakan kesejahteraan kawasan mereka dan mengutamakan agenda dan keperluan rakyat di akar umbi melampaui agenda politik peribadi.

Diharapkan semua ADUN terbabit akan dapat meneruskan proses semak dan imbang yang juga merupakan satu proses yang mampu mewujudkan kematangan sistem pentadbiran.-UTUSAN

MOHD. RAFIZI RAHMAD dan SHEEMA LIZA IDRIS
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya