SAUDARA PENGARANG,
TANGGAL 31 Ogos 1957 adalah peristiwa bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia di mana Stadium Merdeka, Kuala Lumpur menjadi saksi laungan kemerdekaan bergema dengan kehadiran ribuan orang.
Pengisytiharan kemerdekaan yang menandakan Tanah Melayu bebas daripada penjajahan Inggeris secara rasminya sejak lebih 170 tahun lampau merupakan saat dinantikan oleh rakyat dengan penuh debar.
Kini setelah 66 tahun merdeka, pelbagai pembangunan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat yang hidup bersama secara toleransi dan harmoni.
Malah setiap tahun pada 31 Ogos, kita meraikan kemerdekaan tanah air ini dengan pelbagai cara.
Sempena tema tahun ini, iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, maka marilah kita sama-sama mengutamakan sikap saling hormat-menghormati dan meraikan kepelbagaian.
Dalam pada itu, dewasa ini, kebanyakan generasi muda menganggap merdeka itu hanya bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayatinya dengan sekadar melaungkan slogan merdeka serta mengibar Jalur Gemilang semata-mata.
Namun, golongan itu perlu sedar bahawa kemerdekaan juga bermakna kita harus membebaskan diri daripada ancaman penjajahan bentuk baharu, iaitu pemikiran dan budaya asing menerusi pelbagai platform media sosial.
Perkara ini perlu diberikan perhatian khusus oleh semua agar golongan muda tidak terus hanyut dengan dunia mereka sendiri tanpa pengawasan keluarga dan guru.
Pada masa sama, semangat patriotisme atau cintakan tanah air perlu ditanam utuh dalam diri masing-masing terutama generasi muda kerana mereka tidak melalui fasa kesusahan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.
Ia boleh dibuat dengan cara menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu serta memahami asal usul sejarah kemerdekaan tanah air. – UTUSAN
ROZITA ALIAS @ ABDUL LATIFF, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)