SAUDARA PENGARANG,
SEJARAH membuktikan orang Melayu adalah bangsa yang bijak, gigih bekerja, pedagang dan juga pelayar hebat.
Mengikut sejarah Melaka, di bawah kerajaan Melayu, kaum itu berjaya menjalankan perniagaan import dan eksport dengan China, India, negara-negara Arab dan Eropah.
Pedagang Melayu juga merantau ke seluruh dunia dengan kapal yang dilaporkan bersaiz besar. Apabila Nusantara dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris, bangsa peribumi ditekan.
Dilaporkan wujud usaha-usaha melenyapkan sejarah kehebatan bangsa Melayu dijalankan ketika itu. Selama lebih 400 tahun, bangsa Melayu tidak dibenarkan maju.
Lebih teruk lagi, Inggeris membawa masuk pekerja-pekerja dari negara-negara lain yang diberikan segala kelebihan untuk menjalankan aktiviti komersial.
Modal daripada keuntungan perniagaan membolehkan mereka membolot peluang ekonomi yang ada sewaktu negara mencapai kemerdekaan.
Orang Melayu hanya mula menceburkan diri dalam aktiviti perniagaan besar sekitar 1980-an. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, orang Melayu telah menunjukkan peningkatan dalam bidang pendidikan.
Namun, kerana permulaan awal yang dibantu oleh Inggeris, kaum-kaum lain berjaya menguasai sebahagian besar ekonomi dan meninggalkan orang Melayu jauh di belakang dalam sektor ekonomi.
Oleh itu, kerajaan masih perlu membantu orang Melayu dalam usaha merapatkan jurang ekonomi yang meluas ini, tetapi bukan dengan cara merampas atau menafikan hak berniaga mana-mana pihak.
Apa yang masih diperlukan ialah membantu mengembangkan penguasaan ekonomi orang Melayu. Tanpa penguasaan penuh dalam kerajaan oleh orang Melayu, dikhuatiri usaha merapatkan jurang ekonomi ini akan menghadapi kekangan.
Bagaimanapun, ini bukan bermakna kita hendak menafikan hak-hak kaum lain. Hakikatnya kita masih memerlukan wakil-wakil dari setiap kaum dalam kerajaan bagi memastikan kebajikan setiap rakyat dilindungi dan terjaga. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air