Vietnam bantu kekang dominasi kuasa besar

Vietnam bantu kekang dominasi kuasa besar

MALAYSIA dan Vietnam perlu memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan dan pertahanan. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam pada 20 dan 21 Julai lalu dapat meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara sekali gus boleh membantu usaha Malaysia untuk mewujudkan kestabilan di rantau Asia Tenggara termasuk Laut China Selatan.

Vietnam kini menjadi pemimpin serantau yang kian mendominasi bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan teknologi, tenaga baharu, pertahanan dan keselamatan.

Sebab itu Hanoi diintai oleh Washington dan Beijing dalam percaturan kedua-kedua kuasa besar terbabit untuk memperluaskan pengaruh dan kepentingan masing-masing di rantau Asia Tenggara dan Indo-Pasifik.

Pada tahun lepas, Vietnam adalah rakan perdagangan ke-12 terbesar Malaysia dan sumber eksport utama ke negara itu termasuk alat elektronik, petrokimia, mesin dan logam.

Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun ini, industri baharu yang berpotensi besar untuk diceburi termasuk perkhidmatan kewangan, industri halal, pelancongan, ekonomi hijau, digital dan kesihatan.

Bidang kritikal yang akan memberikan pulangan stra tegik kepada kedua-dua negara termasuk sektor pengeluaran makanan, sumber tenaga, hubungan keselamatan dan pertahanan serta pelaburan sektor ekonomi hijau, digital dan teknologi berimpak tinggi.

Kerjasama kedua-dua negara yang akan melibatkan pertukaran modal insan dan kepakaran bakal merancakkan pembangunan ekonomi di Malaysia dan Vietnam. Hubungan dagangan kedua-dua hala dijangka mencecah RM81.9 bilion menjelang 2025.

Sejak menjadi anggota ASEAN pada 1995, Vietnam terus memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi serantau. Kini, Hanoi menjadi hab pembuatan dan eksport untuk syarikat pembuatan global Korea Selatan seperti LG dan Samsung Electronics; menjadi pembekal kepada Apple Inc. dan syarikat automotif seperti Honda dan Toyota.

Malaysia memerlukan aset dan kelebihan Hanoi dalam aspek geostrategik. Ini berikutan Malaysia berada di kedudukan strategik di tengah-tengah rantau Asia Tenggara.

Malaysia juga terletak di laluan perkapalan utama dunia, iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan yang sering menjadi perhatian kuasa-kuasa besar yang berkepentingan.

Kedudukan geografi ini mempengaruhi hubungan dua hala Malaysia dengan Vietnam khususnya dalam aspek keselamatan dan pertahanan.

Hanoi mempunyai pendekatan yang tidak selari dengan langkah Manila yang memperkukuh haluan ke pangkuan Barat. Vietnam sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga seperti Malaysia untuk mengelak daripada mencetus provokasi terhadap Beijing.

Walaupun kekal dengan kaedah mengutamakan diplomasi serantau, Hanoi tetap teguh dengan pendekatan cegah rintang bagi mengekang tindakan dan dominasi Beijing di Laut China Selatan.

Dalam berdepan ancaman bersama yang serius di Laut China Selatan, Malaysia dan Vietnam perlu membentuk keterikatan teguh berlandaskan kepercayaan dan keyakinan.

Dalam pada itu, aset penting kedua-dua negara boleh digemblengkan bagi mewujudkan pakatan bersama untuk menghadapi kuasa-kuasa besar terbabit.

Sebarang persengketaan lama termasuk melibatkan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) antara Malaysia dan Vietnam perlu diselesaikan bagi membentuk kesefahaman lebih mendalam dan mewujudkan kesepakatan serantau.

Hanoi turut memerlukan kepimpinan Malaysia sebagai negara pengerusi ASEAN selepas Laos pada 2025.

Malaysia diharap dapat mengekalkan konsep berkecuali ASEAN dan menghalang percubaan Beijing untuk memperkukuh dominasi dan pengaruh yang mungkin berlaku semasa kepimpinan Laos pada 2024.-UTUSAN

COLLINS CHONG YEW KEAT
Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya