Utama amalan bayar diri sendiri terlebih dahulu - Utusan Malaysia

Utama amalan bayar diri sendiri terlebih dahulu

MEMBAWA bekal ke tempat kerja dapat mengurangkan perbelanjaan membeli makanan di luar. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI dalam kehidupan yang semakin mencabar, penting bagi kita untuk menguruskan perbelanjaan dengan bijak dalam menghadapi kenaikan harga barangan keperluan harian.

Menurut Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), sebanyak 84 peratus rakyat negara ini hanya membuat simpanan jangka pendek dan mengeluarkan semula simpanan pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan harian.

Oleh itu, penting untuk kita mengambil langkah bijak untuk menguruskan kewangan. Pertama, kita perlu memberi keutamaan untuk menyimpan. Amalan “bayar diri sendiri dahulu” dengan cara membuat simpanan akan membantu menghindari keinginan menghabiskan keseluruhan pendapatan yang diperoleh pada setiap bulan.

Dengan mengasingkan jumlah tertentu setiap bulan untuk simpanan, kita dapat membina dana kecemasan untuk digunakan ketika wujud keperluan mendesak. Kedua, penting untuk membuat anggaran perbelanjaan bulanan. Dengan menyediakan anggaran terperinci, kita dapat melihat dengan jelas pendapatan dan perbelanjaan bulanan kita.

Anggaran perbelanjaan harus meliputi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, pengangkutan, utiliti dan perbelanjaan lain seperti hiburan, pakaian dan hobi. Langkah ini penting bagi memastikan kita tidak boros berbelanja serta berbelanja mengikut kemampuan.

Ketiga, penting untuk membuat senarai barangan sebelum berbelanja. Dengan membuat senarai terperinci dan mengikut keperluan sebenar, kita dapat mengelakkan pembelian yang tidak dirancang.

Senarai belanja membantu kita tetap fokus pada barang-barang yang benar-benar diperlukan dan mengelakkan pembaziran wang pada barang-barang yang tidak diperlukan.

Keempat, penting untuk membandingkan harga dan membuat pembelian yang bijak. Sebelum membeli sesuatu barang, bandingkan harga di beberapa kedai atau secara dalam talian. Ambillah masa untuk membuat keputusan dan pastikan kita mendapat harga terbaik untuk produk yang diperlukan terutamanya barangan keperluan yang mahal.

Kelima, pembaziran tenaga elektrik dan air akan menyumbang kepada perbelanjaan bulanan yang tinggi. Ambil langkah-langkah untuk mengurangkannya seperti menggunakan lampu jimat tenaga dan menggunakan air secara berhemat.

Keenam, pengangkutan awam adalah pilihan yang bijak untuk menjimatkan perbelanjaan. Dengan menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api dan transit aliran massa (MRT), kita dapat mengurangkan kos bahan api, tol dan bayaran tempat letak kereta.

Selain itu, menggunakan pengangkutan awam juga mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan. Dengan memanfaatkan perkhidmatan awam, kita dapat menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih berkesan.

Ketujuh, kajian menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menghabiskan purata RM800-RM1,200 sebulan untuk membeli makanan di luar. Ada banyak cara untuk mengurangkan perbelanjaan harian dan menjimatkan wang termasuk memasak di rumah dan membawa bekal ke tempat kerja atau sekolah. Langkah ini dapat mengurangkan perbelanjaan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya