Usah dedah muka, ahli keluarga mangsa jenayah kanak-kanak

Usah dedah muka, ahli keluarga mangsa jenayah kanak-kanak

PENGAMAL media perlu peka dan mematuhi etika kewartawanan dalam pelaporan berita melibatkan jenayah kanak-kanak agar privasi mereka tidak terdedah secara umum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FORUM Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) amat khuatir berkenaan laporan berita melibatkan jenayah kanak-kanak seperti yang diterbitkan baru-baru ini. Laporan berita tersebut bukan sahaja menyerlahkan kejadian itu tetapi memaparkan gambar keluarga dan maklumat pengenalan lain yang melanggar privasi kanak-kanak berkenaan.

Sebagai sebuah organisasi yang menggalakkan kawalan kendiri dalam memastikan ekosistem kandungan yang selamat, kami menggesa pihak media agar lebih bertanggungjawab dan berhati-hati apabila membuat liputan jenayah melibatkan kanak-kanak.

Seperti sedia maklum, media memainkan peranan penting dalam menyebarkan berita sekali gus meningkatkan kesedaran awam. Bukan itu sahaja, integriti dan etika kewartawanan juga haruslah seimbang dengan keperluan bagi melindungi hak dan maruah individu terutama kanak-kanak yang mungkin tidak memahami sepenuhnya akibat daripada kelakuan mereka.

Perlindungan termaktub dalam Bahagian IV, Seksyen 5, Akta Kanak-Kanak 2001 mengenai sekatan ke atas laporan dan penyiaran media. Undang-undang tersebut jelas menyatakan bahawa apa-apa laporan media massa tidak boleh mendedahkan atau memasukkan apa-apa butir yang membolehkan kanak-kanak terlibat untuk dikenal pasti walaupun gambar ahli keluarga dikaburkan.

Ini akan memberi kesan negatif kepada mereka dan ahli keluarga termasuk trauma psikologi, stigmatisasi dan boleh menjadi halangan untuk prospek pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.

CMCF bersedia bekerjasama dengan organisasi media, masyarakat sivil dan agensi kerajaan untuk membangunkan garis panduan dan menjalankan latihan yang memberi fokus dalam meningkatkan amalan pelaporan yang bertanggungjawab mengenai jenayah melibatkan kanak-kanak.

Kami juga mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi pemahaman yang lebih baik tentang garis panduan dan amalan terbaik lain melalui Kod Kandungan 2022 kami.

Kita semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong kesejahteraan dan perkembangan sihat semua kanak-kanak termasuk mereka yang mungkin melakukan jenayah atau berkelakuan bertentangan dengan norma masyarakat.

Bersama-sama kita boleh membentuk masa depan di mana media menjadi instrumen untuk perubahan positif dan memupuk empati dan persefahaman dalam komuniti kita.-UTUSAN

KENNY ONG
Pengerusi Forum Kandungan
Komunikasi & Multimedia Malaysia (CMCF)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya