Tulis karya bahasa Melayu jadikan KPI naik pangkat - Utusan Malaysia

Tulis karya bahasa Melayu jadikan KPI naik pangkat

MOHAMED Khaled Nordin (dua dari kanan) melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030 pada 15 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030.

Ia susulan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPT 2011-2015.

Edisi ketiga pelan ini yang mula diperkenalkan 12 tahun lalu, kini menyasarkan empat objektif utama baharu, iaitu membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu; menghasilkan graduan berketerampilan dalam bahasa Melayu; merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan memperkukuh peranan bahasa kebangsaan sebagai sumber rujukan setanding bahasa asing.

Keempat-empat objektif utama tersebut disokong oleh empat teras, iaitu pembudayaan bahasa Melayu dalam pengajaran, pembelajaran dan aktiviti kokurikulum; pemerkayaan bahasa dan persuratan Melayu di IPTA dan antarabangsa; pengukuhan bahasa Melayu di IPTA sebagai wadah pembangunan negara serta pemerkasaan IPTA dalam pelaksanaan dasar memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang melancarkan pelan tersebut baru-baru ini, KPT sentiasa beriltizam memperkasa pelan dan inisiatif pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di IPTA mencakupi semua disiplin ilmu.

Sebenarnya, IPT memiliki ruang dan peluang cukup banyak untuk melaksanakan tanggungjawab ini termasuk meneliti dan membuat penambahbaikan prosedur dan garis panduan sedia ada supaya pengajaran subjek wajib dilakukan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

IPTA juga harus menyahut cadangan supaya lulus subjek bahasa Melayu peringkat komunikasi asas menjadi syarat graduasi bagi pelajar prasiswazah antarabangsa.

Pendekatan ini akan membolehkan bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa ilmu di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Selain itu, warga IPT juga perlu terus digalakkan dan diberi insentif yang sewajarnya untuk menulis dan menerbitkan buku serta bahan akademik lain dalam bahasa kebangsaan.

Secara umumnya warga IPT sangat mengharapkan insentif dalam bentuk geran-geran penyelidikan dan penerbitan untuk menyokong hasrat ini.

Usaha untuk menterjemah dan menerbitkan karya luar ke dalam bahasa Melayu menggunakan kepakaran warga IPT juga boleh dirancakkan melalui penyediaan dana mencukupi.

Selain itu, bagi memastikan warga IPT memberikan sumbangan yang signifikan, penulisan dan penerbitan dalam bahasa Melayu turut boleh dijadikan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) serta antara kriteria kenaikan pangkat.

Di samping itu, para pensyarah juga boleh terus memberi motivasi dan galakan kepada pelajar untuk menulis dalam bahasa Melayu sekali gus menyumbang kepada objektif menghasilkan graduan berketerampilan dalam bahasa Melayu.

Hakikat yang perlu dijulang ialah menara gading adalah tempat paling tepat untuk kita memperkasakan dan mengantarabangsakan bahasa kebangsaan.

Hal ini boleh direalisasikan melalui skop pengajaran dan penyelidikan yang mengutamakan bahasa Melayu khususnya melalui hasil penulisan dan penerbitan berkualiti.

Persekitaran ini sekali gus akan membuka minat para ilmuwan dan cendekiawan antarabangsa untuk turut mengambil tahu dan mempelajari keistimewaan bahasa Melayu.

Perkara ini tidak mustahil untuk berlaku andai kita benar-benar komited dalam menjayakan kesemua strategi dan inisiatif yang telah digariskan dalam pelan tindakan terbaharu itu.

Tuntasnya, IPTA boleh memainkan peranan amat signi­fikan dalam merealisasikan usaha murni KPT ini. Diharapkan IPT swasta (IPTS) menyokong agenda nasional ini. – UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya