Tubuh pasukan khas di sekolah pantau, atasi kes buli

Tubuh pasukan khas di sekolah pantau, atasi kes buli

PERSEKITARAN sekolah seharusnya perlu sentiasa selamat dan dihormati agar pendidikan para pelajarnya tidak terjejas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BULI di sekolah merupakan masalah serius yang mempengaruhi kehidupan dan prestasi akademik pelajar. Ini kerana implikasi daripada buli boleh berpanjangan dan merosakkan diri individu terlibat secara tekanan emosi tinggi, kecemasan, ketidakselamatan, kurang keyakinan diri dan dalam kes terburuk, boleh menyebabkan kes bunuh diri.

Terdapat beberapa langkah boleh diambil untuk menangani masalah ini secara berkesan. Antaranya melalui pendidikan dan kesedaran. Penting bagi pelajar, guru dan ibu bapa untuk memahami buli adalah salah dan tindakan tidak boleh diterima. Sekolah boleh melaksanakan program pendidikan dan kesedaran mencakupi topik seperti kesetaraan, penghormatan, kepelbagaian dan bagaimana mencegah buli. Pelajar perlu didedahkan dengan nilai-nilai positif seperti kasih sayang, empati dan keberanian untuk membantu mereka menghargai dan memahami kepentingan menghormati orang lain.

Sementara pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menghukum pelaku. Ini boleh membantu mengurangkan kes buli dan menghantar mesej bahawa tindakan tersebut tiada toleransi. Di pihak sekolah pula perlu membentuk pasukan pemantauan untuk mengesan dan memantau kejadian buli di sekolah. Pelajar perlu diberi ruang untuk melaporkan kejadian buli tanpa takut atau risau.

Selain itu, mangsa buli perlu diberikan sokongan dan bantuan psikologi untuk membantu mengatasi tekanan emosi dan trauma dialami. Sekolah boleh membentuk pasukan sokongan terdiri daripada kaunselor atau psikolog untuk membantu mangsa buli.

Ibu bapa dan masyarakat juga perlu terlibat dengan memantau tingkah laku anak-anak selain menyertai program sekolah yang membincangkan masalah buli serta memberikan sokongan kepada mangsa buli.

Sekolah perlu mempunyai dasar dan prosedur jelas bagi mengatasi masalah buli dan memastikan semua pihak di dalamnya memahami pentingnya mengurangkan kes itu. Selain itu, pastikan staf dan guru dilatih dengan baik dalam mengenal pasti dan menangani tindakan buli.

Pendidikan pelajar tentang buli adalah penting untuk mencipta persekitaran sekolah yang selamat dan dihormati. Guru boleh mengambil masa untuk mengajar dengan memperkenalkan topik berkaitan isu ini.

Penggunaan buku dan video juga boleh digunakan dalam proses pendidikan.-UTUSAN

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH
Fakulti Ekonomi & Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN