Tidak mustahil PN tawan Selangor, NS - Utusan Malaysia

Tidak mustahil PN tawan Selangor, NS

PN dijangka memperoleh undi dari akar umbi UMNO bagi menawan Selangor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, ada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyebut Perikatan Nasional (PN) yakin kekal di Kedah, Kelantan dan Terengganu serta akan mengambil alih Selangor dan Negeri Sembilan ketika pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Keyakinan itu berdasarkan kepada satu gerakan digelar the great reset (penetapan semula yang hebat) UMNO dipercayai digerakkan oleh segelintir bekas pimpinan parti itu.

Matlamat gerakan itu adalah untuk menggesa pengundi mengalihkan undi kepada calon-calon PN khususnya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada PRN kali ini.

Gerakan ini diharapkan mampu menewaskan calon-calon UMNO di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal mereka tandingi kelak.

Seterusnya sebagai isyarat penolakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan segelintir pimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sedia ada.

Gerakan ini juga bertujuan memperkasa dan memartabat perpaduan ummah dengan menjadikan persepakatan UMNO-Bersatu-Pas sebagai wadah perjuangan politik orang-orang Melayu dan menolak pemimpin yang memperjuangkan kepentingan peribadi.

Saya melihat gerakan ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan anak-anak muda Melayu dan veteran UMNO sendiri yang mengakui perlu wujud kesinambungan kerjasama UMNO-Pas seperti dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

Secara peribadi, saya melihat fenomena ini sebagai gelombang kedua selain gelombang hijau seperti yang disifatkan ramai pemimpin dan pemerhati selama ini.

Gelombang tambahan ini mampu memberi kelebihan besar kepada PN apabila sekurang-kurangnya 50 peratus undi dari akar umbi UMNO bakal diperoleh calon-calonnya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Keberhasilan peralihan undi kepada calon-calon PN di Pulau Pinang pula bergantung pada sejauh mana Gerakan berjaya meyakinkan pengundi tentang kepimpinan Pas yang selama ini kerap dilabel sebagai ‘Taliban’ dan tidak mesra kaum bukan Melayu.

Saya juga melihat gerakan penetapan semula ini bukan tentang menukar kepimpinan UMNO semata-mata.

Malah lebih jauh lagi agenda perpaduan ummah ini melibatkan persepakatan UMNO-Pas yang telah lama dibincang dan didambakan orang-orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ketika itu pengaruh Barisan Nasional (BN) semakin merosot setelah hilang sebanyak tujuh kerusi Parlimen kepada Pakatan Rakyat (PKR-Pas-DAP).

Selepas PRU13, orang Melayu Islam telah sedar betapa wujud ketidakseimbangan semakin melebar yang tidak menjamin nasib masa depan orang-orang Melayu jika dibiarkan berpanjangan.

Dalam pada itu, atas ketidakpuasan hati akar umbi UMNO terhadap kerjasama UMNO-Pakatan Harapan (PH) sekarang, gerakan penetapan semula dilancarkan bagi memperkasa semula perpaduan ummah antara parti-parti Melayu (UMNO-Pas-Bersatu) selari dengan agenda Proklamasi Melayu yang dilancarkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

Oleh itu, gerakan dan agenda perpaduan Melayu-Islam tidak seharusnya dilihat enteng oleh segelintir pemimpin utama dalam UMNO. Lebih malang lagi apabila ia dituduh sebagai berbaur perkauman oleh segelintir pihak.

Secara peribadi, saya melihat gerakan ini adalah hasrat orang-orang Melayu sendiri yang ingin bergerak maju ke hadapan tanpa melibatkan pertelingkahan pemimpin Melayu hingga boleh merencatkan perancangan pembangunan ekonomi negara.

Apa yang orang Melayu harapkan adalah parti-parti Melayu Islam terus memimpin dalam satu persepakatan demi kepentingan masa depan kaum itu dan memupuk kerjasama ekonomi antara etnik. – UTUSAN

AMIR AL FATEH, Penyelidik sosial

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya