SAUDARA PENGARANG,
GELOMBANG Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu bukanlah lahir daripada kefahaman dan kesedaran politik yang kukuh tetapi lebih kepada permainan sentimen perkauman dan ektremis agama. Gelombang seperti ini diyakini sukar dapat bertahan lama.
Para pemimpin PN juga sedar hakikat ini. Sekiranya kerajaan perpaduan ini dapat terus bertahan hingga ke akhir penggal, peluang PN dalam PRU16 sangat sukar.
Menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, sudah kedengaran kononnya kerajaan perpaduan akan tumbang. Suara sumbang sedemikian acap kali dimainkan sejak kerajaan perpaduan mentadbir negara.
Entah berapa kali persepsi tersebut sengaja dikumandangkan agar penyokong blok pembangkang setia bersama mereka, lebih-lebih lagi kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi negara ini terbukti berjaya dan cemerlang.
Melihat kepada respons dan sambutan amat memberangsangkan ditunjukkan oleh anak-anak muda mahupun belia dalam setiap program bual bicara bersama Perdana Menteri, ternyata ini yang membuatkan para pemimpin PN seolah-olah panas punggung.
Sudah terbukti Anwar telah mempamerkan watak terpuji meskipun beliau kerap dikeji oleh parti lawan, namun jiwanya sentiasa tenang dan sentiasa memaafkan.
Perdana Menteri pada hari ini benar-benar memukau pandangan mata rakyat. Bukan itu sahaja, setiap soalan-soalan diajukan kepada beliau dapat dijawab dengan tuntas dan bernas sekali.
Justeru, tiada sebab mengapa kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Anwar harus ditumbangkan dan perlu diingatkan dengan tegas bahawa Akta Lompat Parti secara taktikalnya telah menyekat sebarang usaha untuk menukar kerajaan.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang