SAUDARA PENGARANG,
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah seorang anak muda yang tidak faham dengan wadah perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang konsisten sejak 80 tahun dalam memperkasakan orang Melayu.
Jadi, Syed Saddiq tidak perlu menasihati Dr. Mahathir dalam isu perjuangan bagi memulihkan semula maruah dan kekuatan bangsa Melayu.
Selama 22 tahun, Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, walaupun melaksanakan agenda ke arah memajukan anak bangsa, namun beliau tidak pernah menganiayai hak kaum lain.
Dalam bidang ekonomi, kemajuan kaum lain amat menyerlah dan saya hendak tanya Syed Saddiq, pernahkah Dr. Mahathir menganiayai sesiapa pun?
Semua kaum mengecapi nikmat pembangunan yang begitu besar daripada dasar-dasar pentadbiran beliau.
Apakah salah seandainya kita bercakap mengenai agenda untuk menyatupadukan semula seterusnya memperkasakan bangsa Melayu secara total tanpa menganiayai hak mana-mana kaum lain?
Walaupun semangat Melayu Dr. Mahathir amat kuat tetapi dalam masa sama tokoh negarawan ini senantiasa menasihati semua pihak untuk menghormati hak kaum lain sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebab itu pilihan raya umum (PRU) pada 1999 bila orang Melayu salah sangka dengan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi para pengundi kaum lain secara konsensus menyokong serta mengundi Barisan Nasional (BN) secara padu ketika itu.
Bagi saya, Syed Saddiq tidak perlu ‘ajar itik berenang’ kerana beliau adalah seorang anak muda yang masih terlalu ‘hijau’ dalam bidang politik.
Apa pun, saya menghormati pandangan Syed Saddiq tetapi janganlah beliau melupakan sejarah bahawa Dr. Mahathir merupakan individu yang mengacukan karier politiknya ketika mula membabitkan diri dalam Gerakan Deklarasi Rakyat.
Sesungguhnya pada waktu itu, saya juga salah seorang yang senantiasa membimbing Syed Saddiq.
Kenyataan Syed Saddiq yang menyanggah gerakan Proklamasi Orang Melayu untuk memecah-belahkan di antara kaum sebagai persepsi melulu tanpa asas yang kukuh.
Perjuangan ‘pelbagai kaum’ Syed Saddiq itu adalah hak beliau tetapi pada masa sama, Syed Saddiq kena hormati wadah perjuangan Proklamasi Orang Melayu yang berpaut erat pada Perlembagaan Persekutuan ke arah mewujudkan sebuah negara majmuk berteraskan kedamian, cinta dan perpaduan antara kaum di negara kita.-UTUSAN
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Pengerusi Biro Mobilisasi
Proklamasi Orang Melayu