Setuju naikkan elaun guru penolong kanan - Utusan Malaysia

Setuju naikkan elaun guru penolong kanan

TUGAS guru penolong kanan begitu mencabar dan bukan mudah untuk dilaksanakan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA terpanggil untuk memberi respons tulisan Wak Parjo dalam ruangan ini pada 14 Jun lalu yang mencadangkan supaya dinaikkan elaun guru penolong kanan (GPK) sekolah rendah.

Ini kerana kadar sebanyak RM60 yang diterima oleh GPK sekolah rendah amat tidak sesuai lagi pada masa ini memandangkan golongan itu terpaksa menghabiskan masa dan tenaga untuk membantu guru besar mentadbir sekolah.

Sebagai bekas GPK di sekolah selama 15 tahun sebelum bersara, saya bersetuju dengan apa yang dia nyatakan.

Sememangnya elaun GPK antara RM60 hingga RM120 untuk sekolah gred A atau B adalah tidak memadai dalam situasi sekarang jika kita lihat tugas dan tanggungjawab golongan itu.

Mereka juga penolong kanan pentadbiran, hal ehwal pelajar, kokurikulum, tingkatan enam dan pentadbir sesi petang.

Tugas mereka begitu mencabar dan bukan mudah untuk dilaksanakan. Sebagai orang penting dalam pengurusan sekolah, mereka bertanggungjawab mengurus guru, pelajar dan juga kerenah ibu bapa.

Ada sekolah yang mempunyai lebih 3,000 pelajar, tentulah bukan tugas mudah mereka melaksanakan tugas.

Mereka perlu menterjemah visi dan misi bidang pendidikan bagi memenuhi aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM). Segala falsafah, dasar dan program di sekolah perlu menjurus memenuhi kehendak pihak atasan.

Masih banyak kerja perkeranian dan dokumen yang mereka perlu uruskan, apatah lagi pada era sistem elektronik dan dalam talian.

Tambah mencabar, tempoh masa singkat diberikan oleh pejabat pendidikan daerah dan negeri untuk menyiapkan segalanya itu. Mesyuarat peringkat sekolah dan daerah perlu mereka hadiri, selalu juga perlu mempengerusikannya.

Sering kali ada tugasan dan arahan baharu yang perlu dilaksanakan. Tugas lama belum siap, yang baharu pula datang.

Ada guru yang mendapat tawaran kenaikan pangkat menjadi GPK ditempatkan di sekolah yang agak jauh dari rumah. Hinggakan ada yang meninggalkan rumah sebelum waktu subuh dan pulang lewat petang.

Tentulah kos pengangkutan menjadi tinggi. Kerenah ibu bapa juga memeningkan kepala. Ada yang cepat mengkritik dan mahukan anak mereka dilayan bagai anak emas.

Hal-hal kecil seperti kehilangan barang anak mereka, usikan ringan dan hukuman ala kadar menyebabkan mereka mengadu atau memarahi sekolah hingga ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, GPK juga perlu mengajar dan bagi yang ada kepakaran menanda kertas peperiksaan, mereka perlu memeriksa buku latihan, menyediakan bahan bantu mengajar dan masuk kelas mengikut jadual.

Bagi penolong kanan kokurikulum pula, biasanya mereka juga mengeluarkan wang sendiri untuk menampung perbelanjaan aktiviti pelajar yang begitu banyak sepanjang tahun.

Saya pernah bertanya kepada guru-guru yang berpotensi dinaikkan pangkat ke jawatan berkenaan. Terus terang mereka enggan dinaikkan pangkat lantaran tidak sanggup memikul pelbagai tanggungjawab tambahan.

Malah, ramai hanya menunggu kenaikan ke gred jawatan lebih tinggi atau ada yang membuat keputusan bersara lebih awal.

Maka sewajarnya elaun GPK dinaikkan lagi sebagai salah satu usaha menambah baik perkhidmatan mereka dan menarik minat guru-guru menjawat jawatan berkenaan.

Memang ada sebelum ini permintaan daripada kesatuan guru ke arah itu, namun belum lagi dilaksanakan. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya