SAUDARA PENGARANG,
ISU bayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal atau intern perlu ditangani secara situasi menang-menang antara pihak industri yang menyediakan tempat latihan praktikal dan pihak universiti yang membekalkan pelajar-pelajar kepada industri.
Ada yang berpendapat pelajar intern tidak perlu diberi elaun kerana mereka masih lagi dalam proses pembelajaran dan di bawah tanggungjawab universiti manakala ada yang berpendapat mereka perlu diberi elaun walaupun berstatus pelajar kerana telah diberi tugas sepertimana pekerja syarikat tempat mereka menjalani latihan industri.
Kebiasaannya pelajar perlu menjalani latihan industri antara tiga hingga enam bulan bergantung kepada keperluan silibus dan pelajar perlu lulus penilaian latihan industri ini yang dinilai pemarkahannya oleh penyelia yang dilantik dalam kalangan tenaga pengajar universiti dan penyelia di tempat pelajar menjalani latihan industri.
Tidak dinafikan juga latihan industri ini penting kepada para pelajar sebagai pendedahan awal suasana alam pekerjaan sebenar yang mana ia ternyata berbeza dari apa yang dipelajari secara teori di dalam bilik kuliah.
Semasa latihan praktikal itu, pelajar akan didedahkan dengan realiti dunia pekerjaan. Pelajar yang menjalaninya akan lebih berkeyakinan kerana perlu berinteraksi dan berkomunikasi dengan pekerja lain untuk menyiapkan tugasan kerja yang diberikan.
Dalam keadaan sekarang yang sesuai digambarkan dengan ungkapan “bergerak saja perlukan duit” maka amat munasabah bagi pihak industri memberi elaun kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal.
Ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa majikan seharusnya mempertimbangkan untuk membayar elaun yang mampu menampung kos perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar berkenaan.
Justeru, adalah difikirkan wajar bagi pihak majikan memberi elaun kepada pelajar intern ini kerana pihak industri juga beroleh manfaat apabila menggunakan khidmat pelajar ini untuk menyelesaikan tugas-tugas sepertimana pekerja industri lain. – UTUSAN
NADZIR AWANG AHMAD @ SAID, Universiti Teknologi Mara (UiTM)