SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA berkemungkinan berdepan risiko kekurangan tenaga kerja mahir dan profesional seperti doktor, jurutera dan sebagainya selepas ramai mahasiswa termasuk mereka yang cemerlang dalam pelajaran lebih memilih untuk menjadi pemandu e-hailing atau penghantar makanan ekoran pendapatan diterima jauh lebih lumayan.
Ini ekoran pasaran kerja di negara ini tidak menawarkan tangga gaji yang sepadan dengan kelulusan mereka, sebaliknya hanya diberi berdasarkan kadar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malah sebahagian mereka berfikir bahawa menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi hanya sekadar membuang masa kerana nilai segulung ijazah hari ini belum tentu menjamin kehidupan cerah pada masa hadapan.
Disebabkan situasi inilah juga kadar kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) jatuh merudum. Tidak dapat dinafikan rata-rata lepasan SPM menyatakan, kadar pendapatan yang ditawarkan tidak setanding taraf pendidikan. Jadi, mereka memilih untuk terus bekerja berbanding melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bahkan, syarat majikan yang lebih mengutamakan pemohon berpengalaman berbanding lepasan IPT menyebabkan lepasan SPM lebih terbuka menceburi bidang pekerjaan bagi menimba pengalaman agar suatu hari nanti menjadi pilihan majikan selain berpeluang meminta gaji lebih tinggi.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kaji selidik membabitkan 560,000 lepasan SPM mendapati hanya 170,000 menyambung pelajaran, manakala 72.1 peratus atau 390,000 lagi enggan berbuat demikian.
Lebih membimbangkan, trend pada 2019 itu dipercayai berterusan semasa 2020 dan 2021.
Dalam satu kajian lain mendapati sebanyak 328,700 atau 44.8 peratus daripada anggaran 733,000 rakyat Malaysia yang menganggur juga membabitkan pelajar lepasan SPM.
Selain itu, kerajaan juga perlu melihat dari aspek kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi juga merupakan antara faktor utama anak muda enggan menyambung pengajian. Dengan pendapatan diperoleh walaupun tidak seberapa, setidak-tidaknya dapat mengurangkan perbelanjaan ibu bapa berbanding membayar yuran pengajian yang tinggi.-UTUSAN
MAISARAH SURANI dan DR. SYAHIZA ARSAD