SAUDARA PENGARANG,
PADA 23 Julai lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Berita kematian beliau diumumkan oleh anaknya, Fatihah menerusi perkongsian di Facebook. Beliau sebelum ini dikejarkan ke wad kecemasan HSB bagi mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Bagi saya, beliau ialah seorang ahli politik yang budiman dalam sejarah politik negara. Allahyarham seorang yang sentiasa tenang dan berhati-hati dalam mengungkap kata-kata. Sukar sekali mahu mendengar beliau meninggikan suaranya.
Ada satu perbualan antara saya dengan beliau yang tidak dapat saya lupakan. Pada ketika itu, Salahuddin ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun 2018.
Ketika beliau nampak saya di sebuah kedai mamak di Semenyih, Selangor. Allahyarham terus mengambil tempat duduk dan menceritakan kepada saya betapa bersungguhnya beliau dalam memperjuangkan nasib orang miskin.Beliau memberitahu, begitu ramai orang dalam kemiskinan dan kerana itu kita semua kena buat yang terbaik untuk mereka.
Seolah-olah beliau cuba menggambarkan pada saya, apa sedang cuba dilakukan olehnya tetapi tidak dihargai. Saya lihat keikhlasannya saat beliau berkata demikian.
Beliau bukanlah dalam kalangan Yang Berhormat (YB) yang mahu berlagak atau sombong. Beliau seorang yang merendah diri dan itulah diri beliau yang sebenar.
Amat sukar menemui ahli politik seperti beliau. Selamat berehat saudara Salahuddin. Takziah buat ahli keluarga dan rakan-rakan beliau.-UTUSAN
S. ARUTCHELVAN
Kuala Lumpur