Rosak politik Melayu maka lemahlah jadinya negara ini

Rosak politik Melayu maka lemahlah jadinya negara ini

KEPAYAHAN orang Melayu hilang selepas negara merdeka dan ditadbir oleh kerajaan persekutuan Tanah Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HAMPIR dalam semua pertemuan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau akan bercakap tentang masa depan politik orang Melayu, kadangkala dalam konteks ekonomi, agama, sejarah dan pendidikan. Lima perkara ini seakan satu tiang seri yang tidak akan lari dari ungkapan mulut beliau.

Kadangkala saya yang mendengar berasa lelah juga dengan tema atau dasar perbincangan ini. Tapi Dr. Mahathir konsisten dan pasti akan ada benda baharu yang diungkap walau tema perbincangannya masih sama.

Mungkin ramai sudah mendengar, namun biar saya ulangi lagi, bekas perdana menteri ini sering mengimbau kembali bagaimana susahnya orang bukan Melayu sewaktu British memerintah. Namun, kepayahan tersebut hilang selepas negara merdeka dan ditadbir oleh kerajaan persekutuan Tanah Melayu.

Sayang, apabila negara semakin maju dan membangun, daripada miskin menjadi berada, orang semakin selesa. Selesa dengan benda dan kuasa khususnya pemimpin-pemimpin Melayu, ramai mula gelap mata dengan wang.

Kemajuan dicapai itu tidak dilihat dari kerja keras sebaliknya mereka melihat jalan pintas untuk kaya dan berjaya. Mereka melihat punca datangnya wang menerusi jalan mudah, iaitu politik.

Penemuan ini ibarat satu penemuan lombong emas atau telaga minyak di depan halaman rumah. Mulai saat itulah politik dan kuasa menjadi sumber rezeki dan kekayaan buat pemimpin Melayu.

Kekayaan, kemewahan dan pesona nama tidak pernah cukup maka pemimpin negara mula menggunakan wang sebagai pemangkin kuasa politiknya.

Maka bermulalah era politik wang secara besar-besaran dan terbuka. Semua ini bermula kerana sifat tamak mahu kekal berkuasa dan mahu menjadi lebih selesa dengan perhatian pesona dunia.

Demokrasi di Malaysia bukanlah demokrasi yang tempang, sistem perundangan kita juga bukanlah terlalu lemah. Masalah kita di Malaysia bukan masalah sains roket yang begitu kompleks, sebaliknya masalah paling asas, iaitu nafsu tamak.

Jadi, untuk memilih pemimpin bersih dan amanah, adalah suatu sangat sukar serta ganjil ketika ini apatah lagi pemimpin semakin bijak menggunakan retorik dalam pidato dan imej-imej syumul yang bersih lagi suci.

Politik Malaysia ialah tentang siapa dapat apa, bila dan bagaimana. Oleh kerana itu Dr. Mahathir berasa cukup bimbang dengan keadaan politik Melayu ini.

Politik Melayu adalah tunjang kestabilan negara. Kerosakan politik Melayu akan menjadi sebab lemahnya negara.-UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM
Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya