Reformasi kembali kegemilangan Felda - Utusan Malaysia

Reformasi kembali kegemilangan Felda

ABDUL Razak Hussein (dua dari kiri) mahu mengubah nasib rakyat menerusi Felda dengan cara memberi tanah kepada golongan miskin yang tidak bertanah dan memberi pekerjaan kepada mereka yang tidak bekerja. – ARKIB UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

FELDA adalah institusi daya tahan rakyat yang amat dekat di hati orang Melayu. Ia simbol iltizam kepimpinan negara mengeluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan. Berdekad lamanya institusi ini membolehkan golongan miskin tidak bertanah diberikan tanah dan tidak bekerja diberikan pekerjaan.

Ini adalah petikan kata-kata Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Felda sebagai institusi penting membuktikan tadbir urus yang baik diterajui pengurusan cekap dan amanah berjaya menjadikannya program unik di dunia dan model pembasmian kemiskinan berjaya.

Namun, umum mengetahui, sejak tempoh hampir sedekad yang lampau, institusi ini terjerumus dalam kontroversi yang membawa kepada kecemerlangan yang terbentuk sejak awal penubuhannya terhakis dan merudum. Ini disebabkan berlaku tindakan tidak cermat dan kegagalan mengendali dengan baik hingga menyebabkan beban terpaksa ditanggung oleh peneroka.

Kerugian dan kehilangan yang terpaksa ditanggung bukan sedikit. Apatah lagi perubahan ekonomi global dan domestik yang menyebabkan kos operasi yang meningkat menambah derita kepada peneroka yang kini telah beransur-ansur diteruskan generasi kelima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berucap pada Hari Peneroka Felda 2023 menegaskan, beliau dan kerajaan perpaduan terpaksa mengambil masa dan meneliti secara mendalam apakah yang menjadi punca kepada merudumnya institusi Felda ini.

Maka keputusan telah diambil oleh beliau untuk melaksanakan reformasi tata kelola Felda secara menyeluruh agar institusi penting negara ini dikembalikan kegemilangannya. Janji kosong yang tidak tertunai sebelum ini tanpa komitmen penyelesaian realistik, praktikal dan paling utama tiada tindakan strategik yang dilaksanakan menyebabkan pemulihan Felda tertangguh.

Namun, kerajaan dipimpin Anwar telah merobah keadaan ini dengan tindakan progresif, berakauntabiliti dan berintegriti sehingga membolehkan pelbagai inisiatif dilaksanakan terus tanpa penangguhan lagi. Inilah reformasi tata kelola baik yang diterjemahkan oleh kerajaan. Anwar sendiri telah menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan Felda pasti akan disokong dan peneroka akan terus dibantu oleh kerajaan.

Keberhasilan reformasi tata kelola yang dicanang dalam gagasan Malaysia Madani telah dibuktikan bahawa ia bukan retorik dengan janji-janji tidak tertunai tetapi meletakkan amanah dengan kebertanggungjawaban dalam melaksana ehwal rakyat.

Reformasi ini adalah bukti usaha menoktahkan kemiskinan menjadi agenda serius kerajaan. Sudah pasti, amanah dan iltizam seluruh jentera kerajaan, segenap organisasi Felda dan setiap warga peneroka dalam menjayakan agenda ini telah mula membuahkan hasil dalam mengembalikan kegemilangan institusi ini.

Saya sendiri sebagai generasi penerus warga Felda telah menyaksikannya bersama-sama 10,000 warganya pada Hari Peneroka Felda 2023 pada 7 Julai lalu. Semoga ada semula cahaya di hujung terowong. – UTUSAN

IBNU MUHSIN, MAEPS Serdang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya