SAUDARA PENGARANG,
JIKA gaji anda tidak mewah, bersyukurlah anda masih ada kerja berpendapatan halal. Apa guna gaji mewah tetapi bercampur dengan wang tidak halal? Antara halal dan haram, di tengah-tengah ada syubhah (kesamaran).
Kalau tinggal rumah sewa tapi beli kereta mewah, amboi amboi.
Begitulah antara lirik dalam lagu Amboi nyanyian Altimet. Walaupun lagu tersebut berirama rap tetapi seni katanya menusuk ke sanubari setiap rakyat. Ini merupakan satu dakwah dalam bidang seni.
Seingat saya, sejak dahulu lagi rakyat diingatkan tentang bahaya amalan rasuah. Sudah banyak kempen termasuk melalui media sosial dimaklumkan kepada orang ramai.
Ingat lagi kisah jerung dan ikan bilis? Kalau anda ada pilihan, bagi mengurangkan spesies ketegar (keras kepala) antara kedua-duanya, apa yang akan anda lakukan? Bukan salah ibu mengandung, tetapi salahkan nafsu yang tidak pernah puas.
Inilah sebenarnya perumpamaan antara golongan yang mengambil rasuah. Golongan jerung sebenarnya susah sikit hendak ditangkap. Dia punya menggelupur boleh tenggelam bot penangkap ikan. Akan tetapi ikan bilis mudah ditangkap, tidak menggelupur pun. Tidak kiralah siapa anda, salah tetap salah.
Sekarang ini menurut perhatian saya sebagai pegawai badan berkanun dan penegak undang-undang, pelajar sekolah harus difahamkan mengenai apa itu rasuah dan kesannya pada negara jika ia menjadi amalan turun-temurun.
Mengikut sejarah, runtuh kota Melaka kerana rasuah. Runtuhnya pemerintahan Khalifah Uthmaniyah di Istanbul pada 3 Mac 1924 juga kerana rasuah. Negara pun boleh dijual kerana barah perlakuan rasuah ini.
Utamakan keluarga, jangan biarkan darah haram mengalir dalam badan anda, kelak merana generasi akan datang. Siapa yang malu, mereka dan keluarga mereka yang malu.
Bebas rasuah, bebas dadah, bebas dedah tetapi jangan bebas akidah dan buta sejarah.-UTUSAN
MOHD. EFENDI MAT DAUD
Kepala Batas, Pulau Pinang