SAUDARA PENGARANG,
KESESAKAN jalan raya telah lama menjadi masalah yang tiada titik noktah. Antara lokasi yang sering menjadi titik panas kesesakan dan menerima rungutan pengguna jalan raya adalah di Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan bandar-bandar lain di beberapa negeri.
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku termasuk pertumbuhan penduduk bandar seterusnya meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan pengangkutan bukan sahaja bagi tujuan pekerjaan malah pendidikan, perniagaan dan hiburan.
Kesesakan sering kelihatan terutama pada masa puncak. Pergerakan trafik perlahan dalam kawasan bandar ini adalah berpunca daripada jumlah kenderaan persendirian yang sangat tinggi di samping kehadiran kenderaan komersial termasuk perkhidmatan penghantaran barangan.
Faktor lain adalah pembinaan bangunan bagi tujuan komersial dan perumahan yang menyebabkan ruang jalan dalam satu-satu kawasan bandar menjadi agak terhad.
Selain itu, kerja-kerja jalan atau aktiviti pembinaan dan penyelenggaraan di jalan raya turut mengurangkan bilangan lorong yang tersedia sekali gus mewujudkan kesesakan dan mengganggu aliran trafik.
Dalam pada itu, reka bentuk geometri jalan juga boleh mempengaruhi kapasiti dan kelajuan lalu lintas. Jalan sempit, selekoh tajam, persimpangan dan bulatan boleh mengurangkan kecekapan dan keselamatan aliran trafik.
Mengurangkan jumlah kenderaan persendirian secara besar-besaran merupakan solusi terbaik untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.
Namun di Malaysia, cabaran paling besar adalah untuk menggalakkan pemandu kenderaan persendirian beralih kepada perkhidmatan bas dan rel atau mengamalkan kaedah berkongsi kenderaan.
Ini adalah berkaitan dengan norma hidup yang telah diamalkan sekian lama. Ramai yang lebih selesa untuk memandu kenderaan sendiri bagi perjalanan harian kerana mereka merasakan ia lebih mudah.
Ini terutama sekali apabila perjalanan yang dilakukan adalah dari rumah terus ke destinasi tanpa perlu bertukar jenis kenderaan lain seperti mereka yang terpaksa menukar jenis pengangkutan awam berbeza.
Keselesaan ini termasuk juga turut berkait rapat dengan faktor cuaca serta keselesaan untuk berhenti di destinasi berbeza dalam satu perjalanan. Seperti contoh, menghantar anak ke sekolah sebelum bergerak ke tempat kerja.
Ini menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam.
Selain itu peningkatan taraf hidup serta kemampuan untuk memiliki kenderaan persendirian juga turut membawa peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Tambahan lagi terdapat banyak peluang untuk memiliki kenderaan baharu dan terpakai ini termasuk kemasukan kenderaan mewah terpakai dari negara-negara maju yang sudah pasti harganya lebih murah berbanding kenderaan baharu dari Malaysia.
Lambakan kereta dari dalam dan luar negara ini menyebabkan kebanjiran kenderaan di atas jalan raya. Jumlah beban trafik menjadi lebih tinggi apabila kadar kenderaan yang dilupuskan tidak seimbang dengan kenderaan baharu yang semakin bertambah.
Oleh itu, menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dalam kawasan bandar adalah cabaran yang kompleks. Adalah sangat mustahil untuk mana-mana pihak dapat menyelesaikan 100 peratus masalah kesesakan selagi bilangan kenderaan di atas jalan raya masih lagi tinggi.
Namun, gabungan strategi pengurusan dan amalan trafik yang baik daripada semua pihak termasuk pemandu boleh mengurangkan kadar kesesakan jalan raya dalam kawasan bandar. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUNZILAH MD. ROHANI, Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)