Poster boy mampu benam Pas Kelantan - Utusan Malaysia

Poster boy mampu benam Pas Kelantan

PERLU dipilih calon sesuai termasuk dalam kalangan naib-naib presiden UMNO sebagai poster boy bagi PRN Kelantan. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI kita tahu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi di enam pilihan raya negeri (PRN) adalah pada 12 Ogos ini. Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Menjelang kempen selama 14 hari yang akan bermula selepas tarikh penamaan calon pada 29 Julai ini, maka pencalonan poster boy bagi setiap gabungan parti yang bertanding mula diperkatakan.

Namun, dalam menentukan individu yang sesuai menjadi poster boy, ia memerlukan kebijaksanaan pemimpin parti gabungan memilih mereka yang benar-benar layak untuk menang PRN.

Sudah pasti poster boy dipertaruhkan mesti dalam kalangan tokoh mempunyai reputasi dan latar belakang yang mampu membawa anjakan luar biasa bagi memastikan keselesaan rakyat dapat ditingkatkan di samping mempunyai misi dan visi untuk meningkatkan pelaburan di negeri terbabit.

Jika ditelusuri sejarah pentadbiran enam negeri yang terlibat PRN, didapati Kelantan masih mempunyai pengaruh kuat serta sukar digugat.

Bagaimanapun, tidak mustahil jika isu-isu membelenggu hidup rakyat dapat dijadikan bahan kempen yang menarik dan calon poster boy diletakkan adalah tepat, ia mampu mengubah landskap politik di Kelantan.

Boleh dikatakan Kelantan berpotensi untuk dimenangi oleh gabungan parti kerajaan perpaduan jika calon poster boy mampu membawa idea dan naratif baharu terhadap perubahan ekonomi dan sosial rakyat negeri itu.

Gabungan parti kerajaan perpaduan berpotensi untuk memecah tembok dan pengaruh Perikatan Nasional (PN) di Kelantan dengan memastikan calon poster boy yang sesuai dan mempunyai kebolehan terutama dari UMNO bagi memastikan kemenangan dapat diperoleh.

Untuk itu, UMNO Kelantan boleh mencuba memberi laluan kepada calon sesuai termasuk dalam kalangan naib-naib presiden UMNO untuk dipilih sebagai poster boy bagi PRN Kelantan walaupun bukan berasal dari negeri itu.

Calon tersebut perlulah dalam kalangan individu yang mempunyai latar belakang korporat kerana kepakaran dan pengalaman sedemikian boleh digunakan bagi membantu mengurus masalah air seterusnya menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu.

Dalam pada itu, dicadangkan supaya poster boy bagi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di semua negeri hendaklah dalam kalangan yang mempunyai pengalaman dan kepakaran luar biasa.

Ini bagi merealisasikan konsep Malaysia Madani dan dapat melepaskan himpitan hidup rakyat yang terbelenggu dengan hutang negara sebanyak RM1.5 trilion.

Langkah memberikan kemenangan kepada calon PH dan BN boleh memastikan kelancaran projek-projek melibatkan kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri.

Antaranya melibatkan projek-projek yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga.

Semua keputusan yang akan dibuat oleh pengundi tidak lama lagi saya yakin adalah manifestasi daripada kehendak rakyat untuk keluar dari belenggu kos sara hidup yang meningkat dan bagi mengukuhkan nilai ringgit.

Jika dapat menawan negeri-negeri terbabit, PH dan BN perlu terus komited secara aktif dan agresif bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan pantas. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya